loading...

Pendedahan MO1: Polis Tak Campur Hal Politik – KPN

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa pihaknya enggan dipengaruhi oleh kenyataan berunsur politik berhubung saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap beberapa individu negara yang didakwa menyeleweng dana 1MDB.

 

Sebaliknya, polis akan tetap fokus dengan siasatan terhadap isu yang membelenggu syarikat pelaburan strategik negara itu yang masih berjalan dan telah memasuki fasa keduanya.

 

“Saya sudah cakap bahawa apa juga tindakan di AS itu adalah tindakan sivil dan kami tak campur dalam tindakan sivil.

 

“Jangan heret kami (PDRM) ke sana ke mari dalam kenyataan politik,” tegasnya selepas menyempurnakan majlis penghargaan para petugas persidangan ASEANAPOL ke-36 di Bukit Aman hari ini.

 

Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa ‘Malaysian Official 1’ (MO1) sepertimana didakwa DOJ dalam samannya itu adalah merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Bagaimanapun dalam wawancara dengan BBC itu Datuk Abdul Rahman menjelaskan bahawa walaupun disebut dalam saman, MO1 bukanlah subjek siasatan tetapi sekadar dirujuk dalam siasatan itu.

 

Pada masa sama, Tan Sri Khalid memaklumkan perkembangan terkini fasa kedua siasatan polis terhadap 1MDB, di mana kertas siasatan telah dikembalikan kepada polis dan beberapa perkara telah pun diarahkan Jabatan Peguam Negara untuk dilaksanakan sebelum dilaporkan semula kepada jabatan tersebut.

 

Bagaimanapun setakat ini beliau memberitahu masih belum ada saksi di luar negara yang telah dirakam percakapannya.

 

Ini kerana proses tersebut memerlukan bantuan guaman bersama (MLA) dan ia akan memakan sedikit masa.-Awani



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...