SHAH ALAM – Ahli akar umbi Parti Amanah Negara (PAN) minta PKR untuk keluar daripada pakatan baharu pembangkang jika masih meneruskan usaha untuk berunding dengan PAS.
Wakilnya, Abdul Halim Mohd Sharif, berkata disebabkan terlampau menumpukan usaha untuk memujuk PAS dalam isu pembahagian kerusi di Selangor, PKR seolah-olah lupa mengenai persefahaman yang dibentuk bersama Parti Amanah dan DAP.
“PKR perlu berhenti menjadi ejen kepada PAS dalam rundingan pembahagian kerusi di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Perkara ini sudah lama berlarutan dan saya difahamkan bahawa rundingan masih berjalan walaupun PAS tetap berdegil dengan pendiriannya.
“Kita tidak akan berdiam diri jika perbincangan ini membelakangkan kesepakatan dalam pakatan baharu yang mana PAS bukan sebahagian daripada gabungan ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Abdul Halim berkata, ahli akar umbi parti serpihan PAS itu keliru dengan tindakan PKR, seolah-olah memperlekehkan peranan yang dimainkan oleh Parti Amanah. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW