KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaman Stanley Clement Agustin dan isterinya, Nika Gee Siew Yee yang membabitkan nama beliau dalam kes penceraian berprofil tinggi pasangan itu.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, ramai yang tertanya-tanya mengapakah Muhyiddin takut dan enggan menyaman suami Siew Yee yang telah membuat Akuan Bersumpah (SD) mendakwa Muhyiddin mempunyai kaitan dengan isterinya.
“SD tersebut menyatakan bahawa Muhyiddin sebagai punca penceraian antara Siew Yee dan Stanley.
“Beliau juga tidak hadir program Nothing To Hide 3.0 yang dianjurkan JMM yang merupakan platform khas untuk Muhyiddin menjelaskan semua perkara mengenai SD tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sekitar Jun lalu, penulis blog, Raja Petra Kamaruddin menyiarkan dokumen SD seorang lelaki mendakwa wujud hubungan antara isteri lelaki terbabit dengan Muhyiddin.
Dakwa lelaki itu dalam SD tersebut, isterinya mempunyai hubungan dengan Muhyiddin ketika tokoh berkenaan menjadi Menteri Besar Johor.
Jelas Azwanddin, pihak JMM telah berkali-kali menjemput Muhyiddin secara terbuka melalui sidang akhbar yang diadakan untuk memaklumkan tentang program yang dibuat khas untuk beliau itu.
“Namun sehingga hari ini, Muhyiddin cuba melakukan sindrom ‘berdiam diri’ tentang jemputan tersebut dan saya amat percaya beliau pun telah mengetahuinya dan bagaimana beliau perlu menjelaskan tentang isu skandal ini.
“Kita semua mahu tahu mengapakah Muhyiddin enggan menyaman Stanley jika ia adalah satu pembohongan. Orang Melayu tidak boleh terima pemimpin politik yang berkelakuan buruk,” ujarnya.
Tambahnya, JMM akan memberi komitmen untuk terus menganjurkan program Nothing To Hide 3.0 dan masih menunggu jawapan daripada Muhyiddin untuk menetapkan tarikh, tempat dan masa bagi tujuan berkenaan. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW