MANILA – Dunia tidak perlu campur tangan dalam kempen Presiden Rodrigo Duterte yang menerima mandat dan memerangi jenayah di negara ini kata Menteri Luar Filipina, Perfecto Yasay.
Reuters melaporkan, Yasay berkata, kerajaan Filipina bersungguh-sungguh untuk membebaskan negara tersebut daripada rasuah dan kegiatan jenayah termasuk pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Tindakan kami, bagaimanapun telah menarik perhatian dari dalam malah antarabangsa atas sebab-sebab yang salah. Kami menggesa semua orang membenarkan kami menyelesaikan masalah domestik tanpa campur tangan lain,” katanya.
Duterte dalam kempen pilihan raya Presiden bersumpah untuk menghapuskan dadah dan jenayah di negaranya sekiranya memenangi pilihan raya itu.
Menurut polis, sejak beliau menjawat jawatan Presiden, dalam tempoh 11 minggu yang lalu, hampir 3,000 orang terbunuh dalam kempen memerangi dadah Duterte sehingga menerima kritikan meluas antarabangsa khususnya PBB.
Kritikan PBB itu mengundang kemarahan Duterte sehingga beliau mengundang Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Kesatuan Eropah (EU) menyiasat tindakan kekerasannya itu.
Tambah Yasay, Duterte telah mendapat ‘mandat yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.
“Bagi Duterte, kepercayaan yang diberikan itu adalah ‘suci’ dan tidak boleh dilanggar,” tegasnya.
Penduduk Filipina mengagumi tindakan Duterte mengecam pemimpin berprofil tinggi termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan PBB.
Yasay berkata, Manila akan kekal menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab terhadap masyarakat antarabangsa, komited kepada kedaulatan undang-undang, selain mematuhi keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) yang memihak kepada Filipina berhubung tuntutan di Laut China Selatan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW