loading...

Individu Taja Bina Tugu Helang Hairan Cadangan Roboh

PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan yang membiayai pembinaan Tugu Lang di Langkawi, hairan kenapa replika helang itu tidak dipersoalkan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan ia dibina 20 tahun lalu.

 

Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew yang dipetik China Press berkata, semasa perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir mempelawa beliau mereka, mencari tukang dan mengeluarkan kos RM1.3 juta untuk membina replika itu, tiada pihak yang membantah kerana tujuan asal ialah membantu membangunkan industri pelancongan negara.

 

Beliau yang mempersoalkan sama ada perobohan replika helang itu akan memupuk keharmonian atau mencetuskan konflik sosial, menggesa kerajaan negeri Kedah mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan mempelawa cendekiawan Islam mengkaji baik buruk dan keperluan untuk merobohkannya.

 

Katanya, beliau tidak akan membantah perobohan replika helang itu, jika ia dapat meningkatkan lagi keharmonian masyarakat.

 

“Semua agama di dunia ini mempunyai satu persamaan, iaitu mengutamakan kasih sayang, keharmonian dan etika, bukannya mendidik manusia melakukan kerosakan dan kebencian,” katanya.

 

Cadangan merobohkan Tugu Lang timbul apabila Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dalam satu artikel di Berita Harian pada 2 September lalu berkata, replika itu haram kerana menyerupai haiwan hidup dan wajib dirobohkan.

 

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga sependapat pembinaan Tugu Lang adalah haram, selepas timbalannya, Zamri Hashim mempersoalkan kewajaran mengekalkan replika helang yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi.

 

Lee berkata, beliau amat menghormati Islam walaupun dirinya bukan umat Islam, bagaimanapun beliau tidak pasti cadangan merobohkan tugu itu dibuat berdasarkan ajaran Islam, al-Quran atau sekadar permintaan umat Islam.

 

Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) itu berkata, beliau menyokong dan bersedia menemui mufti yang mencadangkan perobohan replika berkenaan untuk berkongsi pandangan mengenai agama masing-masing.

 

Mercu tanda setinggi 12 meter yang siap dibina pada 1996 itu, dirasmikan Dr Mahathir pada 23 Oktober tahun sama. – FMT



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...