loading...

Penerbit Upin Ipin Pertahan Dasar Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR — Festival Filem Malaysia (FFM) perlu memartabatkan bahasa Melayu sejajar dengan dasar yang ditetapkan kerajaan, kata penerbit animasi popular “Upin dan Ipin.”

 

Burhanuddin Md Radzi berkata dasar itulah yang diperjuangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Mereka yang tidak bersetuju boleh melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang, tambahnya.

 

“Finas mengikut Dasar Industri Kreatif Negara. Selagi dasar itu tidak diubah, kita mesti memartabatkan bahasa kebangsaan dan ia akan (kekal) di situ.

 

“Itu terserah pada kerajaan memerintah sekarang. Kalau kerajaan itu kamu tidak suka, undi buang dia. Lepas itu buatlah apa yang kamu suka.

 

“Tetapi sekarang sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Finas, kami menjalankan tugas mengikut dasar itu,” kata pengarah urusan Les’ Copaque Production kelmarin.

 

Penerbit filem “Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng!” mempertahan isu bahasa semasa majlis Tanya Finas 2.0 di sini yang hangat membincangkan hala tuju Festival Filem Malaysia (FFM).

 

FFM ke-28, yang dijadual antara 1 hingga 3 September ini, dilanda kontroversi susulan pengasingan kategori filem “bahasa Melayu” dan “bukan berbahasa Melayu.”

 

Diskusi di Platinum Sentral malam Isnin dihadiri ketua pengarah Finas Datuk Kamil Othman, presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Yusof Haslam dan penggiat seni.

 

Burhanuddin berkata generasi muda sudah mula melupakan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti menyatukan bangsa negara ini.

 

“Generasi hari ini menganggap bahawa karya dalam bahasa Melayu ini sampah, tidak boleh dijual.

 

“Tetapi mereka tidak ingat, mereka buat karya untuk dapatkan duit dengan filem ditayang di Malaysia. Yang tengok, orang

kampung.

 

“Filem yang dibuat dalam bahasa Inggeris tidak pergi ke mana pun. Upin Ipin cakap Melayu, seluruh dunia sudah pergi, saya sudah buktikan,” katanya.

 

Sementara itu, pengarah drama Ellie Suriaty Omar dalam majlis sama mempersoalkan motif golongan yang mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu dalam filem tempatan.

 

Pelakon itu berkata pertikaian mereka menimbulkan tanda tanya sama ada mereka mahu industri perfileman sebagai medan menjatuhkan institusi negara.

 

“Kalau awak dapat apa yang awak hendak dan kalau kerajaan tunduk kepada kehendak itu, maka satu bidang dalam industri ini Malaysia ditumbangkan?

 

“Adakah ini peranan unsur subversif? Serang industri filem dahulu. Kena ingat penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah, sekolah, agensi kerajaan dan di kertas peperiksaan.

 

“Jadi awak hendak mulai dari sini (festival), kemudian hendak tumbangkan? Adakah itu maksudnya? Jangan dipolitikkan industri ini,” katanya.

 

Ellie berkata pemisahan kategori dalam FFM tidak sepatutnya menjadi isu tetapi wajar disyukuri penggiat-penggiat filem bukan Melayu.

 

Katanya, berbeza dengan filem “Spinning Gasing” lakonannya yang tidak boleh dicalonkan pada FFM ke-16 kerana menggunakan bahasa Inggeris.

 

“Filem pertama saya Spinning Gasing, filem penuh berbahasa Inggeris, saya tidak dapat masuk FFM ke-16 pada ketika itu tetapi saya tetap menyokong FFM ke-28 sampai bila-bila.

 

“Saya tidak boikot. Saya tidak menentang FFM, PFM atau mana-mana orang kreatif di dalam negara sendiri.

 

“Apa guna jadi orang kreatif jika meletakkan kesalahan kepada Finas, PFM dan individu yang mengangkat martabat bahasa Melayu,” katanya. – MalayMail



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Previous
Next Post »
loading...