KUALA LUMPUR – “Kita tidak ambil mudah cabaran (parti baharu) ini dan yakinkan ahli kita bahawa diberi penekanan serius kerana sentimen terhadap Tun Mahathir masih ada di kalangan ahli-ahli kita dan kita tidak mahu mereka terkeliru dan memberi sokongan kepada parti baharu ini,” kata Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu harus dilihat sebagai pesaing kuat UMNO dan pihaknya tidak akan mengambil mudah penubuhan parti baharu yang dinaungi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
UMNO juga katanya harus mula mengurus persepsi dan sentimen supaya tiada ahli parti yang terpedaya dan keliru.
“Kita kena nyatakan parti baru ini parti lawan untuk UMNO,” katanya memetik laporan Awani.
Menurut Ketua Pemuda UMNO itu lagi, ahli dan penyokong UMNO harus diberi penerangan tentang isu-isu berkaitan yang dibangkitkan Parti Bersatu itu sekiranya diluluskan nanti.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan untuk mendaftar parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau turut mengumumkan nama parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terbuka kepada semua warganegara.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW