KUALA LUMPUR: Para siswa sepatutnya mengutamakan pengajian sebelum menyertai himpunan politik, kata Menteri Pendidikan Tinggi hari ini.
“Sekali-sekala boleh sertai wacana, tapi tumpukan perhatian pada pengajian,” kata Datuk Seri Idris Jusoh dalam sidang media seusai perasmian pameran Estcon 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Idris mengulas pembabitan siswa tempatan dalam tunjuk perasaan #tangkapMO1 yang akan berlangsung 27 Ogos depan. Tujuan himpunan itu bagi mendesak pihak berkuasa membuat pendakwaan terhadap “Malaysian Official 1”, yang tidak dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam saman sivil untuk mengembalikan aset yang didakwa dibeli dengan wang yang digelapkan daripada 1Malaysia Development Berhad.
“Siswa perlu sedar mengapa mereka berada di universiti. Saya selalu beritahu siswa mereka bebas buat apa sahaja di luar universiti. Tetapi kalau mereka taksub dengan turun ke jalanan, mereka akan lupa pengajian.”
Ahli Parlimen Besut turut menyoal samada siswa mahu kejadian rempuh pintu pagar Universiti Malaya (UM) pada 2014 berulang.
Dalam kejadian itu, ratusan pelajar membuka pintu pagar UM bagi membolehkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap kepada siswa walaupun pihak berkuasa melarang dialog diadakan.
“Kamu tengok apa yang berlaku di UM bila siswa rempuh pintu pagar. Saya nak tanya, adakah itu sesuatu yang baik? Tak baik langsung.”
Idris berkata siswa perlu mengutamakan pengajian dan peroleh ijazah kerana kerajaan mensubsidikan 80%-90% yuran tuisyen siswa setiap semester.
“Jika kamu mengaji di universiti awam, kerajaan membelanjakan kira-kira RM18,000 setahun supaya kamu boleh belajar. Kamu hanya bayar RM2,000 setiap tahun.
“Maksud saya RM16,000 wang rakyat digunakan, kamu tahu? Jadi pastikan kamu lulus bila tiba masanya, dan jangan buang masa,” katanya.
Pada Sabtu, sayap belia parti-parti Pakatan Harapan berikrar untuk mengembleng semua ahlinya kepada himpunan itu. Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzah dilaporkan berkata suara siswa sepatutnya menjadi kuasa ketiga yang bebas daripada pengaruh politik.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW