loading...

Video: Ambiga Tuntut Bebas Anwar Agenda Utama Gerakan Anjuran Mahathir

PETALING JAYA – Bekas Pengerusi Bersih 2, Ambiga Sreenivasan berkata Deklarasi Rakyat yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya tidak terhad kepada gerakan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

 

Beliau yang juga peguam menuntut supaya pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dari penjara dijadikan agenda utama gerakan anti Najib yang dianjurkan bekas Perdana Menteri itu bagi menjayakan tuntutan reformasi yang diuar-uarkan.

 

“Ia bukan hanya mengenai menyingkir seorang lelaki tetapi juga mengenai reformasi.

 

“Kita perlu masukkan agenda untuk bebaskan Anwar dalam deklarasi ini kerana beliau dihukum secara tidak adil,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani deklarasi tersebut petang semalam.

 

Tuntutan terbuka Ambiga itu agak bercanggah dengan kenyataan Dr Mahathir yang sebelum itu menegaskan isu pembebasan Anwar bukan keutamaan deklarasi itu.

 

“Kita hanya menumpukan perhatian ke atas penyingkiran Najib,” kata bekas Perdana Menteri itu ketika menjawab soalan pemberita.

 

Memetik laporan Malaysiakini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan turut menyokong pendirian Dr Mahathir.

 

“Saya menyokong penuh kenyataan yang dibuat Tun Mahathir mengenai tujuan deklarasi ini diadakan. Yang diterangkan Tun itu lebih utama dari kempen bebaskan Anwar,” katanya.

 

Dalam laporan yang sama, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali tampil menegaskan agenda utama parti itu tetap memperjuangkan pembebasan Anwar.

 

“Kita akan teruskan usaha membebaskan Anwar. Beliau simbol kezaliman negara.

 

“Perjuangan akan diteruskan. Tuntutan kita bukan setakat pemecatan (Najib), tetapi juga PRU yang adil, kebebasan media. Itu tuntutan yang telah termaktub dalam deklarasi ini, yang selari dengan agenda Pakatan,” katanya.

 

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak awal tahun lepas setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari.

 

Pertama kali Anwar dijatuhkan hukuman penjara ketika era pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas didapati bersalah meliwat, Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi kepada isteri Anwar.

 

Berikutan tuduhan kes liwat itu, Dr Mahathir memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 diikuti perlucutan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang akhirnya membawa kepada gerakan reformasi dan penubuhan PKR. – SuaraTV

 

Previous
Next Post »
loading...