loading...

Tiga Remaja Mengaku Bersalah Buli Pelajar Jilat Jalan Raya

PETALING JAYA – Tiga remaja lelaki termasuk seorang bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Khamis terhadap pertuduhan membuli dua pelajar sekolah dengan menyuruh mereka menjilat jalan raya, yang menjadi viral di laman sosial, Januari lepas.

 

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Tan Jze Keong, 18, pelajar kolej swasta Lim Khoo Boo Kean, 19, dan seorang remaja berusia 17 tahun menukar pengakuan kepada bersalah pada Khamis ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

 

Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Pada 5 Februari lepas, Tan, Lim dan remaja 17 tahun itu bersama tiga lagi remaja berusia 17 tahun, yang telah mengaku bersalah, didakwa menyuruh dua pelajar lelaki berusia 15 tahun bersujud sambil menjilat jalan raya dengan tujuan untuk mengaibkan kehormatan mangsa.

 

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan belakang sebuah sekolah menengah di Sea Park, Kelana Jaya, di sini pukul 1 tengah hari, 29 Januari lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Mahkamah pada Khamis menjatuhkan hukuman ke atas tiga remaja 17 tahun itu yang mengaku bersalah pada 5 Februari lepas, namun media tidak dibenarkan masuk ketika prosiding kerana kes itu melibatkan juvana.

 

Bentuk hukuman yang dikenakan terhadap mereka juga tidak didedahkan kepada media.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat dan peguam Datuk Suraj Singh mewakili Tan dan Lim, manakala keempat-empat remaja 17 tahun itu tidak diwakili peguam.

 

Pada Januari lepas, rakaman video perbuatan buli melibatkan dua mangsa lelaki yang ketika itu berpakaian sekolah, menjadi viral di laman sosial. – Bernama

Previous
Next Post »
loading...