KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan bedak talkum dan lain-lain produk berasaskan bahan mineral talc kerana dianggap berpotensi menyebabkan barah.
Presiden CAP S. M. Mohamed Idris mendakwa talc merupakan satu bahan karsinogenik — atau boleh menyebabkan barah — dan dikaitkan dengan barah rahim dan masalah pernafasan sehingga mendorong Kesatuan Eropah mengharamkannya.
“Talc bersifat toksik kerana zarah-zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Zarah talc mampu naik ke sistem pembiakan dan melekat pada dinding ovari. Hasil kajian telah menemui zarah-zarah talc dalam tumor ovari sementara wanita yang menghidap kanser ovari kerap menyapu bedak talkum pada alat sulit mereka berbanding wanita yang sihat.”
Bahan talc terkandung dalam produk bayi dan digunakan secara meluas dalam produk kosmetik termasuk pembayang mata, pemerah pipi dan deodoran.
Walaubagaimanapun, talkum yang diharamkan di Eropah dan oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Barah (IARC) hanyalah yang mengandungi asbestos, dan ia tidak diharamkan di pasaran lain, termasuklah di Amerika Syarikat.
IARC telah mengklasifikasikan talkum yang tidak mengandungi asbestos sebagai tidak karsinogenik, manakala cuma “mungkin karsinogenik” sebagai punca barah rahim.
Kata CAP lagi, bedak talkum juga boleh membahayakan paru-paru kerana zarah yang halus boleh masuk ke dalamnya, dan apabila tersebar dalam udara akan dihidu oleh bayi dan pengguna lain.
“Menyedut debu tersebut ketika menyalin lampin pula boleh menyebabkan kecederaan malah kematian bayi.
“Talc juga boleh menyebabkan saluran udara bayi membengkak dan menyebabkan pneumonia. Malah bedak talkum pernah dikaitkan dengan asma kanak-kanak,” katanya.
Sebagai alternatif, katanya pengguna disarankan menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras.
Sementara kaum ibu pula dinasihatkan supaya menggunakan minyak sapu dan bukannya bedak talkum berubat untuk menghilangkan ruam pada bayi. – MalayMail