HASRAT pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menaja pasukan Kelantan akhirnya tercapai apabila kedua-dua pihak bersetuju memeterai perjanjian kontrak penajaan bernilai RM16 juta untuk tempoh dua musim.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, peristiwa pada hari ini merupakan sejarah yang bermakna buat bola sepak Kelantan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016.
“Dengan Liga M yang semakin kompetitif dan memerlukan perbelanjaan yang agak besar bagi mendapatkan pemain berkualiti, sudah tentunya kesudian Vida Beauty yang diasaskan Dr Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida menaja Kelantan amat dihargai.
“Sudah tentu penajaan yang diberikan perlu dibalas dengan persembahan berkualiti dari pemain dan pengurusan yang efisien, kita perlu membuktikan kemampuan pasukan untuk terus bersaing,” katanya pada Majlis Menandatangani Kontrak Penajaan Pasukan Liga Super Kelantan musim 2016 hari ini.
Annuar juga percaya dan menaruh keyakinan 2016 merupakan musim kebangkitan Kelantan yang pastinya mampu mencabar kejuaraan dalam saingan Liga M yang bakal memulakan tirai Februari nanti.
“Pastinya dengan adanya penajaan dari pelbagai pihak kita yakin Kelantan akan kembali digeruni malah harapan saya kita akan meraih sekurang-kurangnya satu piala.
“Jadi bagi saya 2016 merupakan musim kebangkitan Kelantan yang sebelum ini dilihat agak bergelut dengan prestasi pasukan,” katanya. – Sinar