KUALA LUMPUR – Hasil kajian Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) ke atas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapati perjanjian itu boleh memastikan tadbir urus negara menjadi lebih telus dan akauntabiliti yang lebih baik.
Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, berkata kajian terbaru tersebut yang bertajuk ‘Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA): Pemangkin Pembaharuan Tadbir Urus Negara’ itu juga diharap boleh menjadi rujukan oleh Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong TPPA pada sesi khas Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari akan datang, dan Dewan Negara pada 28 Januari.
Menurutnya, kajian IDEAS mendapati TPPA boleh menjadi pemangkin untuk memperkukuh sistem anti-rasuah di Malaysia; mempertingkatkan tadbir urus dalam Syarikat Milik Kerajaan (GLC); menggalakkan kerajaan untuk meningkatkan akauntabiliti dan lebih konsisten serta memastikan bahawa sistem perolehan lebih telus dan akauntabiliti.
“TPPA adalah satu peluang yang sangat berharga untuk Malaysia bagi menangani kelemahan tadbir urus seperti masalah rasuah dan sistem perolehan kerajaan yang masih belum sempurna.
“Tatkala kemahuan politik untuk menjadi lebih baik kini semakin lemah, TPPA boleh menjadi pemangkin penting untuk memastikan negara kita kembali ke landasan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Wan Saiful lagi, ada beberapa faedah sosio-politik yang penting yang akan dihasilkan oleh TPPA dan semua ini perlu dipertimbangkan dalam membuat keputusan ama ada kita perlu menandatangani TPPA atau tidak.
“Kertas kajian kami membicarakan faedah-faedah ini dan kami menyru ahli-ahli parlimen menyokong cadangan agar Malaysia menandatangani TPPA.
“TPPA adalah satu langkah ke arah yang betul untuk memastikan usaha penambahbaikan tadbir urus Negara akan terus berjalan,” ujarnya. – TheRakyatPost