KUANTAN — Laluan sepanjang 30 kilometer Jalan Pintasan Kuantan menghala ke pelabuhan sudah dibersihkan daripada sisa bauksit dalam tempoh seminggu kerja-kerja pembersihan dimulakan.
Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Morni Mamat berkata laluan itu meliputi Kampung Padang di Bukit Goh hingga ke kawasan perindustrian Gebeng di sini.
“Kawasan yang masih perlu dibersihkan hanya tinggal kira-kira 15 kilometer dan selepas itu, kita akan berpatah semula ke Bukit Goh untuk membersihkan laluan bertentangan pula,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, semalam.
Morni berkata operasi pembersihan dijalankan setiap hari bermula pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang, sejak dimulakan pada 14 Jan lalu.
Kelancaran proses mencuci yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Alam Flora Sdn Bhd, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Penjara Penor dijangka membolehkan kerja itu tamat lebih cepat dari tempoh sebulan yang ditetapkan, tambahnya.
Mengulas mengenai segelintir pihak yang mempertikaikan khidmat bomba untuk membersihkan sisa bahan mineral itu, Morni menjelaskan ramai yang tidak mengetahui bahawa melestarikan alam sekitar merupakan satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan bomba.
Beliau juga hairan dengan tindakan segelintir masyarakat yang mempersoalkan tindakan bomba membersihkan sisa bauksit dengan menggunakan air, yang dikatakan bukan cara yang betul dan tidak berkesan untuk membersihkan bahan mineral itu.
“Saya tidak pernah berjumpa dengam maklumat yang mengatakan bauksit akan menghasilkan tindak balas dengan air.
“Malah kereta atau lori yang dikotori debu bauksit semasa melalui jalan ke pelabuhan juga dicuci dengan air, bukan dengan kimia tertentu.
“Susah untuk kita puaskan hati semua orang. Apabila dibiarkan mereka kata tiada tindakan, namun apabila kita bantu membersihkan, ada juga yang masih tidak berpuas hati,” katanya.
Mekanisma pembersihan yang digunakan pihak bomba turut dipersetujui oleh ketua penolong pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zainal Abidin Abdullah yang berkata air boleh digunakan untuk mencuci sisa bauksit yang tertumpah di jalan raya semasa proses pengangkutan.
“Apabila jalan raya itu mempunyai longkang, air akan membawa sisa bauksit ke dalam longkang dan tindakan mereka yang terlibat dalam kerja pembersihan mengorek keluar mendapan bauksit di dalam longkang adalah betul,” katanya. — Bernama