KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang daripada suspek pengebom dalam serangan di Jakarta, Indonesia membuat panggilan telefon ke Malaysia sebelum ia dilancarkan tetapi individu itu bukan rakyat Malaysia.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata maklumat itu disalurkan oleh pihak berkuasa republik berkenaan hasil siasatan forensik yang dijalankan.
“Saya sahkan memang ada suspek serangan di Jakarta membuat panggilan ke Malaysia. Polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara ini.
“Polis akan siasat berdasarkan maklumat yang kita terima, bagaimanapun saya ingin mengesahkan setakat ini tiada seorang pun suspek pengganas yang menyerang Jakarta baru-baru ini adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang pleno sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 (IDC 2016) di sini, semalam.
Dalam serangan bermula jam 10.50 pagi waktu Indonesia 14 Januari lalu, tujuh orang terkorban termasuk lima militan, manakala 24 yang lain cedera.
Mereka yang cedera termasuk lima pegawai polis dan empat warga Belanda, Algeria, Austria dan Jerman.-BH