loading...

Sultan Pahang Titah Contohi Rasulullah SAW

Kuantan – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru jabatan kerajaan dan swasta memberi penekanan terhadap program yang menjurus kepada pembentukan modal insan dan meningkatkan ilmu.

 

Baginda bertitah, pembentukan modal insan berilmu dan berkualiti seperti yang dihasratkan kepemimpinan kerajaan, dapat disegerakan apabila program sedemikian dilaksanakan.

 

“Saya juga menyeru kepada semua pihak, marilah kita meletakkan tekad dan kesungguhan, melaksanakan apa jua gerak kerja secara bersama serta berganding bahu memastikan umat Islam menjadi generasi berilmu, beriman dan bertakwa.

 

“Sesungguhnya, ummah yang gemilang tidak mungkin terbina dengan hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan usaha orang lain,” titah baginda sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di sini, hari ini.

 

Turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhamad Safian Ismail dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.
Sultan Ahmad Shah juga bertitah supaya umat Islam terus mencontohi dan mengingati perjuangan Rasullullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam dan memartabatkan syiar Islam, sehingga melahirkan tamadun terunggul di dunia.

 

“Semangat ukhuwah dan persefahaman ini perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan setiap lapisan masyarakat kerana ia merupakan kerangka asas dalam perpaduan dan kesatuan ummah,” titah baginda.

 

Sementara itu, Adnan dalam ucapannya mencadangkan supaya jabatan dan majlis yang menjaga hal ehwal agama, mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan mesej yang disampaikan dalam majlis agama difahami dan diamalkan masyarakat.

 

Katanya, penganjuran majlis agama bertindak sebagai medium untuk membendung perpecahan dan kecelaruan antara umat Islam yang amat membimbangkan apabila percaya kepada fitnah, pembohongan dan perbuatan mengadu domba yang dilakukan segelintir masyarakat.

Previous
Next Post »
loading...