PEKAN – Datuk Seri Najib Razak mahu Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) diperluaskan kerana dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan penduduk luar bandar.
Perdana Menteri berkata, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem itu seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan keupayaan pemantauan jarak jauh secara tepat, memberi manfaat kepada penduduk.
Contohnya, sistem iComm berkaitan keselamatan boleh dipasang di timur Sabah seperti kampung di Lahad Datu, Semporna dan Sandakan.
“Apabila ada CCTV, penduduk boleh memantau jika ada penceroboh masuk dan menahan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan iComm Kampung Padang Rumbia di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Pengerusi MIMOS Berhad, Datuk Omar Kaseh serta Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah.
Perdana Menteri turut meminta penduduk Kampung Padang Rumbia memanfaatkan kemudahan iComm yang juga satu daripada inisiatif di bawah program inovasi sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sistem itu merangkumi rangkaian litar tertutup, alat pemantau paras air sungai dan platform komunikasi mudah alih berasaskan internet.
Kampung Padang Rumbia adalah komuniti desa pertama di Malaysia yang mendapat faedah daripada projek rintis yang juga bertujuan memanfaatkan ICT untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi penduduk.
“Melalui sistem ini, kita dapat mengesan kenaikan paras Sungai Pahang, sekali gus penduduk kampung boleh bersiap sedia untuk berpindah dan menunggu arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa,” katanya. – BHarian