loading...

JATI Sokong Malaysia Sertai TPPA Tapi Perlu Sentiasa Waspada

KUALA LUMPUR – Pertubuhan JATI mengikuti perkembangan usaha kerajaan untuk melibatkan Malaysia dalam Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pasific Partnership) dan Parlimen akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincangkan keputusan bagi menandatangani Perjanjian Perkongsian (TPPA).

 

Presiden, Prof Dato’ Mohd Zainul Fithri Dato’ Osman berkata, setelah JATI mengadakan Rundingan Meja Bulat TPPA bertarikh 19 Januari lalu, bersama pihak berkepentingan dan juga pihak yang menganjur, JATI mengambil ketetapan bahawa JATI menyokong usaha kerajaan menyertai TPPA secara berwaspada (agreed with caution).

 

“Kami dapati banyak kerisauan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak adalah munasabah, maka kerajaan harus ambil peduli serta respon secara positif dengan mengambil langkah-langkah mitigasi sewajarnya,” katanya.

 

Zainul Fithri berkata, memandang kepada kemungkinan beberapa pindaan perlu dibuat ke atas undang-undang berkaitan dengan negeri-negeri dan Undang-undang Buruh, secara spesifik, JATI ingin menarik perhatian kerajaan kepada Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.”

 

“Kami bersetuju dengan Majlis Perundingan Melayu yang mencadangkan supaya diwujudkan badan pemantau TPPA, atau ‘watch dog’, di peringkat Malaysia dan antarabangsa dengan penglibatan badan-badan bukan kerajaan. JATI juga sedia menawar diri untuk menyertainya.

 

“JATI juga mahu kerajaan mempertimbangkan penyertaan dalam TPPA lebih daripada pertimbangan untung-rugi ekonomi dan perdagangan, malah kepentingan umat Islam, Bangsa Melayu, Institusi Beraja serta kedaulatan Negara hendaklah diambil kira pada setiap masa.

 

“JATI menyedari ada baik dan buruknya penyertaan dalam TPPA ini, namun, setakat maklumat yang kami terima, kebaikan yang ada didalamnya lebih banyak daripada keburukan, dan ia amat bergantung kepada kewaspadaan dan keefisienan kerajaan serta jenteranya,” katanya.

 

Menurutnya, JATI mengambil masa agak lama untuk membuat pendirian ini kerana kami berpegang kepada prinsip tabayyun, atau mendapatkan maklumat yang benar sebanyak mungkin terlebih dahulu sebelum membuat pendirian terutama dalam hal penting seperti dalam kes TPPA ini, dan cuba mengelak daripada membuat pendirian berpandukan maklumat yang tidak jelas atau persepsi semata-mata. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...