Alor Setar – Pimpinan Umno Kedah dijangka akan mengadakan satu perjumpaan khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak petang ini.
Menurut sumber yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi perjumpaan pada pukul 4.00 petang itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut sumber tersebut perjumpaan itu antara lainnya bertujuan untuk membincangkan mengenai konflik politik yang berlaku di Kedah pada ketika ini.
“Semua pemimpin sayap UMNO di peringkat bahagian akan hadir dalam perjumpaan khas pada petang ini.
“Antaranya Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri” katanya yang enggan mendedahkan identitinya itu.
Beliau turut menjelaskan majoriti yang hadir dikatakan telah menyatakan persetujuan untuk menyokong tindakan untuk mengugurkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
“Datuk Seri Najib selaku Presiden UMNO dijangka akan menyampaikan amanat dan pandangan beliau berhubung konflik yang berlaku di Kedah pada ketika ini”
“Saya juga dimaklumkan pengumuman Menteri Besar Kedah yang baru dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat ini” ujarnya lagi.
Politik Kedah kembali hangat apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama 12 Ketua UMNO Bahagian mengadakan sidang akhbar tergempar Rabu lalu bagi menggesa pucuk pimpinan untuk menukar Mukhriz kerana gagal mengurus tadbir kepimpinan negeri dengan berkesan.-SuaraTV