loading...

Penduduk Jakarta Panik, Ketakutan Dengar Bunyi Tayar Meletup

JAKARTA – Orang ramai di sekitar Jalan Thamrin, tempat kejadian serangan bom oleh pengganas di bandar raya ini, terus trauma apabila mereka berlari bertempiaran apabila terdengar satu lagi letupan pada kira-kira jam 9 malam tadi.

 

Letupan berdekatan bangunan Badan Pengkajian dan Penerapan Teknolgi (BPPT), di sini itu boleh didengar sehingga jarak 500 meter itu menyebabkan ramai menjadi panik sehingga ada yang menangis ketakutan.

 

Bagaimanapun, polis mengesahkan letupan itu adalah bunyi tayar pecah sebuah trak di jalan itu.

 

Ketua Polis Jakarta Pusat, Hendro Pandowo memberitahu pemberita di sini, orang ramai mungkin masih trauma dengan kejadian semalam dan sensitif dengan sebarang bunyi

letupan.

 

Polis juga telah melakukan pemeriksaan dan memastikan tidak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

“Kita sudah pastikan tidak ada letupan bom tetapi hanya letupan tayar lori sahaja. Keadaan terkawal dan jalan sudah dibuka seperti biasa,” katanya.

 

Tinjauan di tempat kejadian mendapati orang ramai masih lagi berhimpun berdekatan lokasi kejadian untuk mengikuti perkembangan walaupun keadaan sudah terkawal.

 

Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, tujuh orang termasuk lima suspek penjenayah dan dua orang awam terbunuh selepas berlaku letupan bom dan tembak menembak di Jalan Thamrin di sini. – BERNAMA


Previous
Next Post »
loading...