PETALING JAYA – Kira-kira 2,000 pelajar sebuah kolej swasta di Kota Damansara panik apabila diarahkan keluar dari pusat pengajian selepas menerima panggilan bom kira-kira jam 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, kakitangan pusat pengajian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan melihat seorang lelaki warga Iran meletakkan barang dipercayai bom di dalam tandas di kawasan universiti.
Menurutnya, pemeriksaan polis tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini.
“Setakat ini, keterangan daripada kakitangan universiti telah diambil bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Katanya, sepasukan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bergegas ke tempat kejadian dan menjalankan pemeriksaan selama satu jam setengah di seluruh kawasan universiti.
Mohd Zani berkata, keadaan kembali seperti biasa kira-kira jam 2 petang tadi dan pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Sementara itu, pelajar yang ditemui berkata, mereka mengosongkan bangunan universiti selepas mendengar bunyi penggera kecemasan.
Dia yang enggan dikenali berkata, tidak mengetahui sebab diarahkan keluar dan hanya mengikut arahan. – TheRakyatPost