loading...

Beri Peluang Wanita Jadi Angkasawan Malaysia

SHAH ALAM – Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yakin bahawa wanita perlu diberikan peluang untuk menjadi angkasawan negara.‎

 

Menurutnya, ia akan membawa perubahan kepada negara, sekaligus memberikan inspirasi kepada wanita-wanita dalam negara ini.

 

Katanya lagi, sekiranya negara ingin menghantar angkasawan wanita pada masa akan datang, calon angkasawan itu harus diberikan misi yang berbeza berbanding sebelumnya.

 

“Berikan mereka (angkasawan wanita) misi yang berbeza. Mereka haruslah diberikan peluang untuk melakukan space walk, mereka boleh berada selama enam bulan di angkasa lepas atau lain-lain lagi.

 

“Tidak ada gunanya sekiranya kita menghantar seorang lagi angkasawan untuk melaksanakan perkara dan misi yang sama,” katanya ketika ditemui pada program Temu Mesra Angkasawan Negara bersama Salizhan Sharipov di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

 

Menurut Sheikh Muszaphar lagi, negara juga bakal melakar sejarah sekiranya menghantar seorang angkasawan wanita ke angkasa lepas.

 

Ini kerana menurutnya, hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan angkasawan merupakan angkasawan wanita.

 

“Daripada 550 angkasawan yang pernah ke angkasa lepas, hanya 55 orang sahaja yang merupakan angkasawan wanita.

 

“Ini kerana wanita dikatakan mempunyai sifat sukar membuat keputusan. Bagaimanapun secara peribadi saya tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Kajian juga menunjukkan bahawa wanita ini multi-tasking. Ia mungkin berguna ketika berada di angkasa lepas,” katanya lagi.-Sinar

Previous
Next Post »
loading...