KUALA LUMPUR – Pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan pihaknya tidak lagi bercadang untuk menandatangani pemain pertahanan Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya, menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers, berkata pencari bakat kelab berkenaan diberitahu pemain itu masih lagi terikat dengan pasukannya itu.
“Pencari bakat ini sudah mengenal pasti pemain dan memaklumkan kepada kelab bahawa pemain berkenaan tidak terikat dengan mana-mana kontrak.
“Jadi, kelab agak terkejut apabila mendapati pemain ini masih terikat dengan pasukan Selangor. Pencari bakat tidak menyelidik dengan tepat status pemain terbabit.
“Selepas mendapat tahu perkara ini, JDT tidak berhasrat lagi untuk menandatangani pemain itu. Sehubungan itu, pencari bakat itu sudah pun diberhentikan serta-merta kerana gagal mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Beliau berkata, JDT menghormati pasukan Selangor sebagai kelab besar dan profesional serta memohon maaf terhadap salah faham yang berlaku.-BH