loading...

Shakila Sani pembawa Jalur Gemilang Sukan Asia 2018

Siapa pula Shakila Sani ni kan? Mesti ramai-ramai tertanya pembawa Jalur Gemilang Sukan Asia 2018 di Jakarta nanti.
Atlet negara ini mewakili malaysia dalam acara karate wanita negara sekaligus terpilih berdasarkan pencapaian Shakila yang pernah meraih pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mohamad Norza berkata MOM menyenarai pendek lima atlet lain untuk membawa Jalur Gemilang iaitu jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, ratu skuasy negara Datuk Nicol David, ratu terjun negara Pandelela Rinong, penjaga gol skuad hoki kebangsaan S. Kumar dan Khairulnizam Mohd Afendy dari sukan pelayaran.

“Pemilihannya berlandaskan beliau muka baharu dengan harapan sukan karate akan mencapai satu titik tolak kecemerlangan bukan sahaja di Sukan Asia tetapi dibawa sehingga ke Sukan Olimpik.

“Kita beranggapan untuk memberi pengiktirafan kepada beliau kerana sukan karate akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Mohamad Norza pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ketiga bagi sesi 2018-2021 di Wisma MOM, Selasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MOM akan menjemput, masing-masing Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Steven Sim Chee Keong untuk menghadiri mesyuarat anggota majlis MOM yang pertama pada 28 Julai ini.

Mohamad Norza berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu akan membolehkan wakil persatuan sukan kebangsaan selain kepimpinan MOM untuk berbincang mengenai hala tuju sukan negara.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan Pengerusi INASGOC, Erick Thohir memberi jaminan akan menyelesaikan kesilapan teknikal untuk acara regu melibatkan skuad sepak takraw lelaki negara sebelum bermulanya saingan Sukan Asia, bulan depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, sebelum ini dilaporkan berang setelah skuad negara diundi dalam acara regu berpasukan dan doubles berpasukan pada Sukan Asia walaupun MOM menyenaraikan nama atlet negara dalam acara regu dan berpasukan.

Sukan Asia 2018 akan berlangsung di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September.- Bernama

Previous
Next Post »
loading...