loading...

PRK Sg Kandis: UMNO Tidak Perlu Tanding – Penganalisis

SHAH ALAM: Melihat dari perspektif penganalisis pula, calon PKR yang bakal diletakkan untuk bertanding pada PRK Sungai Kandis berkemungkinan mereka yang berada dalam pasukan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kebarangkalian itu ada kerana sudah tentu Amirudin akan memilih calon yang boleh bekerja dengannya.

“Ini juga boleh dikatakan sebagai ujian pertama buat Amirudin untuk melihat sejauh mana beliau berjaya memilih calon yang ada kelayakan dan berada sepasukan dengannya.

“Siapa pun yang dipilih, ia perlu diteliti sebaiknya kerana pemilihan parti juga akan berlangsung Ogos ini dan bagi PKR semua itu harus diambil kira bagi memastikan calon terpilih adalah calon yang boleh menyumbang kepada parti,” katanya yang melihat Yaakob dan Mohd Radzlan mungkin ada peluang cerah untuk jadi calon.

Mengenai peluang UMNO, Sivamurugan berpendapat, adalah lebih baik untuk UMNO tidak bertanding kerana parti keramat Melayu itu kini dalam proses untuk membina dan memulihkan semula parti.

Menurutnya, jika melihat kepada PRK itu kebarangkalian untuk PKR menang sangat tinggi kerana kekosongan berlaku adalah atas faktor kesihatan Shuhaimi.

“Ini bukan kali pertama UMNO/BN tak bertanding PRK jadi lebih baik UMNO membiarkan kerusi itu dimenangi tanpa bertanding ataupun terpulang kepada Pas jika mereka masih nak letak calon.

“Lebih wajar UMNO/BN beri tumpuan untuk rapatkan barisan serta membina semula parti di bawah kepimpinan baharu,” katanya.

Mengulas cadangan Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang mengesyorkan Pas membentuk kerjasama dengan UMNO bagi menguatkan pembangkang negeri agar pertandingan satu lawan satu dapat direalisasikan pada PRK Sungai Kandis, Sivamurugan berkata, bentuk kerjasama dicadangkan Pas itu perlu dijelaskan secara terperinci.

Menurutnya, perlu dilihat atas kapasiti apa kerjasama dilakukan kerana BN masih hidup dan masih ada MCA serta MIC.

“Apakah parti komponen itu akan menerima cadangan kerjasama itu atau kerjasama dimaksudkan itu supaya UMNO tidak bertanding dan biar saja Pas yang meletakkan calon.

“Selain itu, apakah Pas juga bersedia untuk nyatakan kepada ahlinya, inilah kerjasama yang akan wujud dengan UMNO dan bagi Umno pula, apakah mahu bekerjasama seolah-olah wujud penggabungan tidak rasmi? Ini semua harus diperhalusi lagi sebelum kerjasama dimaksudkan benar-benar berlaku,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan komen pemimpin Umno serta Pas Selangor mengenai senarai calon PRK Sungai Kandis termasuk cadangan kerjasama antara kedua parti pada PRK tersebut tidak membuahkan hasil.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dalam jawapan ringkasnya berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai calon dan meminta ia dirujuk kepada Pengerusi UMNO Selangor.

Previous
Next Post »
loading...