Setiap 25 Disember, masyarakat Kristian di negara kita akan mengadakan sambutan perayaan Krismas dengan meriah. Walaupun sambutan Krismas diraikan oleh golongan Kristian, kemeriahannya tetap dirasai oleh masyarakat beragama lain ekoran banyak promosi berkaitan Krismas diadakan di pusat-pusat membeli belah dan siaran media juga banyak memaparkan elemen-elemen yang berkait dengan Krismas, sepanjang tempoh berlangsungnya upacara ini.
Perayaan Krismas diraikan sempena mengingati hari kelahiran Jesus Christ, menurut kepercayaan penganut Kristian. Walaupun begitu, banyak pihak dalam kalangan komuniti Kristian sendiri menzahirkan rasa kurang bersetuju dengan tindakan majoriti penganut Kristian menyambut Krismas.
Alasan mereka agak jelas - terlalu banyak elemen dalam Krismas dilihat sebagai tidak menepati apa yang diminta oleh ajaran Kristian, dengan Krismas pada hari ini dilihat terlalu bersifat komersial. Adakah tuduhan mereka berasas? Untuk memahami kisah ini, kita perlu mengetahui serba sedikit tentang latar belakang dan peranan Raja Constantine dalam pembentukan budaya Krismas dan penyebaran agama Kristian.
ZAMAN SEBELUM CONSTANTINE
Pada abad ke 2, setiap 17 Disember sehinggalah 24 Disember, masyarakat dibawah Empayar Rom masih lagi mengamalkan perayaan Saturnalia, demi memperingati Saturn, tuhan orang Rom yang mengawal kekayaan dan pertanian. Bermula 25 Disember pula selama seminggu, masyarakat Roman akan menyambut perayaan bagi memperingati kelahiran Mithras, Tuhan matahari. Dalam menyambut kedua-dua perayaan ini, masyarakat Rom akan berkumpul sesama keluarga, menyediakan hidangan makan dan bertukar-tukar hadiah.
Melihatkan masyarakat ketika itu yang masih berdegil dan mahu terus memegang kepercayaan lama mereka, pemimpin-pemimpin Kristian zaman tersebut bersetuju untuk mengambil pendekatan memujuk. Mereka mula melibatkan diri dalam perayaan berbentuk Pagan itu bagi mengambil hati mereka dalam menerima ajaran Kristian.
Tindakan mereka itu ditentang kuat oleh golongan-golongan tertentu. Yang paling lantang adalah seorang penulis dan pakar agama bernama Tertullian, seorang penganut Katolik ketika itu. Dalam tahun 230M, dia menulis banyak sanggahan dan kritikan terhadap tindak-tanduk pengamal Kristian yang mula mengambil ringan ajaran Kristian sehingga sanggup mengabaikan ajaran asal, hanya semata mahu mengambil hati masyarakat Pagan ketika itu.
Ketakutan Tertullian menjadi realiti, apabila apa yang diharapkan berlaku tidak menjadi. Masyarakat Kristian pada ketika itu yang mula terikut-ikut dengan budaya perayaan Pagan yang diamalkan, berikutan populariti perayaan tersebut yang sukar untuk dikekang.
CONSTANTINE MEMULAKAN TRADISI KRISMAS?
Flavius Valerius Aurelius Constantinus atau dikenali sebagai Constantine I dilahirkan pada tahun 275M, hampir 3 abad selepas zaman Jesus Christ. Terdapat beberapa pendapat yang mengatakan Constantine memang sudah mewarisi ajaran Kristian daripada ibunya sejak awal lagi, namun beberapa pendapat pula mengatakan Constantine bukanlah seorang penganut Kristian, sehinggalah pada hari dia mati di mana dia dibaptiskan di atas katil kematiannya.
Bagi penganut Kristian yang mengkritik dan melawan sambutan Krismas, Constantine didakwa masih lagi mengamalkan kepercayaan lama menyembah Tuhan-Tuhan orang Rom, sama seperti raja-raja Roman terdahulu sebelum beliau.
Semasa dalam satu perjalanan di Sungai Tiber, Itali pada tahun 312M bagi menghadapi peperangan, Constantine ternampak seakan objek berbentuk salib yang tertulis 'in hoc signo vinces' ketika sedang memandang matahari. Ayat tersebut membawa maksud 'dengan tanda ini anda akan menakluk.'
Ekoran petanda itu dan kemenangan besar ke atas musuh beliau selepas itu, Raja Constantine I mula menjadi penyokong kuat kepada gerakan Kristian. Dia mula mengembalikan semula harta benda orang Kristian yang dirampas, membenarkan amalan agama dalam empayarnya, giat membina gereja-gereja serta berazam mahu menyatukan kepercayaan penganut agama Kristian yang sudah mula berpecah belah.
KRISTIAN BERKEMBANG DI BAWAH CONSTANTINE
Kaedah yang digunakan Constantine dipuji penyokongnya terutama kelompok majoriti masyarakat Kristian di sebelah barat Rom ketika itu. Namun terdapat juga kritikan daripada mereka yang merasakan tindakan Constantine itu, hanyalah satu bentuk pujuk rayu politik bagi mengekalkan sokongan rakyat kepadanya.
Demi membantu menyatukan masyarakat yang pada ketika itu masih lagi bercampur di antara mereka yang mengamalkan ajaran Kristian dengan mereka yang masih lagi berpegang kepada ajaran lama berbentuk Pagan, Constantine memperkenalkan langkah drastik yang kesannya boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Pendekatan yang diambil Constantine mirip dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Kristian terdahulu sebelum beliau menaiki takhta, menggunakan pendekatan mendekati masyarakat Pagan agar lebih terbuka menerima ajaran Kristian. Semua ini dibuat dengan berhati-hati agar tidak berlaku penolakan besar kepada pemerintahan beliau.
Melihat reaksi yang baik daripada masyarakat ketika itu, Kerajaan Rom mengambil langkah besar mengumumkan Kristian sebagai agama 'kegemaran' empayar Rom dengan tarikh 25 Disember dipilih secara rasmi sebagai tarikh rasmi sambutan kelahiran Jesus Christ. Pengumuman sambutan Krismas pada 25 haribulan dibuat pertama kali pada tahun 336M, disambut bersama dengan perayaan Saturnalia dan perayaan Pagan lain secara besar-besaran.
PENYOKONG LAWAN PENGKRITIK KRISMAS
Bagaimanapun, bukan semua pihak bersetuju dengan langkah Constantine itu.
Pihak penganut Kristian yang berada di bahagian timur berbeza pendapat dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Rom yang disokong oleh penganut Kristian di sebelah barat. Mereka yang tidak bersetuju, meneruskan tradisi hanya meraikan tarikh 6 Januari sebagai tarikh pembaptisan Jesus Christ yang telah mereka guna pakai selama ini.
Walaupun begitu ekoran sokongan pemerintah, lama kelamaan tarikh yang dipilih oleh Constantine itu mula diterima ramai sehingga menjadi tarikh rasmi sambutan Krismas oleh majoriti masyarakat Kristian.
Perayaan Pagan yang selama ini diraikan masyarakat Rom mula lenyap perlahan-lahan dimakan masa, digantikan dengan sambutan Krismas yang semakin popular ekoran kewujudan ramai penganut baru Kristian. Kali terakhir sambutan serupa bernetuk Pagan diadakan dan direkodkan secara rasmi adalah pada 387M, 51 tahun selepas pengumuman Constantine.
Hakikatnya, tidak ada mana-mana individu dalam dunia ketika ini yang tahu tarikh lahir sebenar Jesus Christ. Mengikut petunjuk-petunjuk yang terdapat dalam penerangan Bible, kebanyakan pengkaji Kristian yang menentang perayaan Krismas bersetuju tentang satu perkara penting ; Jesus Christ tidak mungkin lahir dalam bulan DIsember.
Keputusan menjadikan 25 Disember sebagai sambutan hari Krismas dilakukan, kerana Constantine terpaksa menyeimbangkan sokongan masyarakat Kristian serta menjaga sensitiviti masyarakat yang masih mengamalkan kepercayaan Pagan ketika itu.
Kami harapkan artikel ini dapat memberi perspektif berbeza pada anda yang tertanya-tanya mengapa Krismas disambut setiap tahun pada 25 Disember, memandangkan tidak ada bukti kukuh yang mampu mengatakan tarikh hari Krismas adalah hari kelahiran Jesus Christ dan kekal diguna pakai hingga sekarang.