KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis ekstasi seberat empat kilogram dengan anggaran nilai RM356,860 dari Belanda.
Pengarahnya Datuk Hamzah Sundang berkata dalam operasi di Pejabat Pos Kota Kinabalu pada 28 Nov lepas, seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun turut ditahan dipercayai terlibat dalam kes itu.
“Sekitar 12 tengah hari pada 28 Nov, pegawai Kastam di Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu JKDM Sabah menahan suspek yang datang ke Pejabat Kastam Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu untuk bertanyakan satu bungkusan kotak yang diikrarkan mengandungi pakaian berdasarkan slip penghantaran.
“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kotak tersebut menggunakan mesin pengimbas mendapati imej di dalamnya mencurigakan,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.
Menurut Hamzah, pemeriksaan lanjut mendapati kotak itu mengandungi beg bagasi berwarna merah yang terdapat ruang rahsia, di mana dua bungkusan berwarna hitam mengandungi pil pelbagai warna dijumpai.
Katanya, bungkusan itu masing-masing seberat dua kilogram dan mengandungi sejumlah 10,196 pil.
Hamzah berkata suspek ditahan reman tujuh hari dari tarikh tangkapan (28 Nov) dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Loading...