loading...

CFM Nasihat Waspada Taktik Penipuan Sindiket

KUALA LUMPUR – Forum Pengguna Malaysia (CFM) menggesa pengguna supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan yang mencurigakan dan sentiasa peka mengenai teknik penipuan yang digunakan oleh sindiket.

Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Datuk Yusoff dalam satu kenyataan hari ini berkata orang ramai perlu sedar bahawa objektif utama sindiket-sindiket ini ialah untuk mendapatkan data peribadi perbankan untuk menipu mangsa melalui transaksi wang mereka.

“CFM menasihatkan pengguna supaya berwaspada tentang taktik yang digunakan oleh sindiket untuk menipu mangsa. Justeru, adalah penting bagi pengguna untuk memahami implikasi jika mereka mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.

“Melalui penyamaran Caller ID Spoofing, ahli sindiket boleh memanipulasi nombor yang tertera pada telefon bimbit mangsa. Mereka akan menghubungi mangsa yang disasarkan dan menyamar sebagai pegawai untuk memaklumkan penglibatan mangsa dalam kes jenayah, kes saman, hutang pinjaman yang tertunggak atau tunggakan kad kredit,” kata beliau.

Yusrizal berkata untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket, CFM menasihatkan pengguna supaya tidak menjawab panggilan telefon tidak dikenali dari luar negeri, jangan memberikan data peribadi seperti nombor akaun bank kepada orang tidak dikenali dan cara terbaik ialah menamatkan panggilan itu.

“Jangan panik dan sentiasa tenang jika anda menerima panggilan dari pihak bank atau pihak berkuasa penguatkuasa undang-undang, catatkan butiran pemanggil dan menghubungi institusi berkaitan secara langsung sama ada melalui nombor di laman sesawang masing-masing. Secara alternatif, pengguna boleh pergi ke pejabat secara persendirian untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau berkata CFM menawarkan platform sehenti untuk pengguna mendapatkan maklumat dan tip berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Mereka boleh menghubungi talian bebas tol CFM di 1-800-18-2222 atau e-mel ke [email protected] bagi mengatasi aduan yang tidak dapat diselesaikan dengan penyedia perkhidmatan mereka. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...