SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah takut untuk mengadakan program dialog dengan mahasiswa universiti kerana yakin berada di pihak yang betul.
Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bukti keterbukaan yang mahu mahasiswa bebas berfikir ambil bahagian dalam arus politik serta kepemimpinan negara.
“Siapa yang pinda AUKU? Inilah sifat keterbukaan yang dibawa oleh saya sebagai Perdana Menteri. Saya tidak takut (pinda AUKU) kerana apa yang saya buat ini adalah keputusan betul dan saya mahu mahasiswa bersama kita.
“Kita juga adakan Program Parlimen Belia. Ia adalah pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengetengahkan bakat pelapis kepemimpinan anak muda untuk menerajui negara pada masa depan.
“Saya difahamkan ada juga menteri pun berpeluh ketika menjawab soalan apabila berdialog dengan mahasiswa, tetapi tidak mengapa kita membenarkan mahasiswa bertanya tanpa sekatan tertentu,” katanya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Dewan Agung Tuanku Cancelor UiTM, di sini, malam ini.
Persidangan PEMANAS 5.0 berlangsung selama enam hari bermula 29 November lalu dengan disertai 350 mahasiswa daripada semua universiti awam dan swasta daripada pelbagai latar belakang pengajian.
Hadir sama ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah; Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Pengarah PEMANAS 5.0, Mohd. Shahar Abdullah.
Bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baharu’, persidangan anjuran bersama Biro Pendidikan UMNO dan Yayasan Minda di Pusat Dagangan Antarabangsa Putra itu membincangkan empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ada pihak tertentu cuba memukul canang kononnya mahasiswa menolak UMNO dan kerajaan yang ada hari ini, namun hakikatnya dakwaan itu tidak benar.
“Sejak PEMANAS berjalan sehingga ke siri 5.0, sudah banyak evolusi perubahan yang cukup menakjubkan. Saya yakin roh parti keramat UMNO adalah dalam jiwa pemimpin PEMANAS.
“Saya yakin mahasiswa sedar bahawa masa depan generasi millenium tidak boleh dipisahkan dengan perjuangan yang dibawa UMNO,” kata Najib.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengingatkan mahasiswa jangan memperjudikan masa depan negara serta menghargai nikmat yang dirasai sekarang ini hasil pengorbanan kerajaan BN diterajui UMNO.
“Inisiatif Transformasi Nasional untuk siapa kalau bukan untuk generasi masa depan. Begitu juga hubungan baik saya dengan pemimpin utama dunia, ia adalah demi generasi masa depan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Loading...