loading...

Isu basikal: Undang-Undang Sahaja Tidak Cukup

JOHOR BAHRU – Undang-undang sahaja tidak mampu membendung trend sukan berbasikal yang menular zaman kini.

 

Sebaliknya, kata Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat, semua pihak terlibat seperti masyarakat dan NGO juga perlu memikirkan dan melaksanakan alternatif lain bagi para remaja.

 

“Mengambil maklum balas dari isu yang berlaku dalam peristiwa rempuhan kenderaan yang membabitkan kematian lapan remaja berbasikal di Johor Baharu semalam, saya melihat sukan berbasikal sudah menjadi trend remaja masa kini.

 
“Saya berpandangan, undang-undang sahaja tidak mampu membendung kehendak remaja,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya lagi, antara alternatif yang boleh disediakan termasuk ‘Litar Lajak’ berbasikal, di lokasi yang bersesuaian dengan kehendak remaja.

 

Beliau dalam masa sama turut mencadangkan jalan raya sedia ada ditutup sementara pada waktu awal malam di setiap hujung minggu.

 

“Penutupan ini tidak mengganggu waktu puncak pengguna jalan raya. Litar bersifat sementara perlu mendapat kelulusan kerajaan, dilengkapi alat keselamatan, ruang penonton dan di bawah pemantauan ibu bapa.

 

“Kelebihan alternatif Litar Lajak, pertamanya remaja yang terbabit dalam aktiviti ini dapat menyalurkan minat mereka secara positif. Keduanya, perkara seperti kemalangan sebelum ini dapat diminimakan,” katanya lagi.

 

Katanya lagi, penyediaan Litar Lajak juga dapat melatih remaja terlibat untuk mematuhi undang-undang.

 

“Di negara ini juga kita mempunyai ikon berbasikal seperti ‘The Rocket Pocket Man’ Azizul Hasni Awang yang juga jaguh basikal dunia.

 

“Ini adalah contoh belia yang berjaya dalam bidangnya. Maka dari itu bakat remaja berbasikal ini boleh digilap dari program atau aktiviti yang disediakan ini,” jelasnya.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...