KUALA LUMPUR — Bidaan nombor pendaftaran kenderaan baru ‘V’ bagi kawasan Kuala Lumpur mencipta rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan hasil RM22 juta.
Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata nilai itu dianggap luar biasa apabila 15,000 individu dan syarikat membidanya, melebihi jumlah 10,000 nombor pendaftaran ‘V’ yang ditawarkan.
“Ia adalah jumlah pembida tertinggi yang pernah direkodkan bagi mana-mana nombor plat di negara ini,” kata timbalan menteri pengangkutan sepeti dilapor Harian Metro.
Manakala nombor pendaftaran ‘F’ bagi kawasan Putrajaya yang diperkenal sebulan lebih awal, Julai lalu, mencatatkan hasil kutipan berjumlah RM17 juta.
Abdul Aziz berkata beliau terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap nombor plat yang ditawarkan sejak Jun lalu.
Jumlah bidaan ‘V’ dan ‘F’ menjadi hasil pendapatan tertinggi yang pernah direkodkan JPJ.
“Jumlah bidaan juga meningkat berkali ganda dengan nilai bidaan tertinggi bagi nombor plat V1 bernilai RM989,780. Ia adalah bidaan tertinggi direkodkan dalam sejarah negara.
“Nombor plat V9 pula dibida pada harga RM899,800, manakala V88 pula adalah RM400,000,” katanya seperti dilaporkan.
Tambahnya, berdasarkan sambutan menggalakkan itu, JPJ akan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan baru yang lebih unik dan menarik pada masa akan datang.
Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan ‘V1’. Sultan Ibrahim juga berjaya membida ‘F1’ pada harga RM836,660. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW