loading...

AMANAH Gesa Mahathir Mohon Maaf Secara Terbuka

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perbicaraan yang dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah semalam tidak mencukupi bagi sesetengah ahli politik pembangkang.

 

Pemuda AMANAH dalam kenyataannya hari ini mahu bekas perdana menteri itu turut menghadiri ‘perbicaraan kes Liwat 2’ melibatkan bekas timbalannya itu dan membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia.

 

Naib ketua pemudanya, Shazni Munir berkata, pertemuan kedua-dua tokoh itu mengundang persepsi seolah-olah mereka telah ‘mengangkat bendera putih’ dalam perseteruan politik mereka.

 

“Pemuda AMANAH berpandangan Mahathir perlu membuktikan kejujuran beliau melalui dua kaedah.

 

“Menghadiri perbicaraan kes ‘Liwat 2’ melibatkan mantan timbalannya itu dan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas cela laku sepanjang beliau memimpin kabinet Malaysia,” kata Shazni.

 

Bagaimanapun, kes liwat membabitkan Anwar telah selesai di mahkamah persekutuan, kecuali kes qazaf yang masih diteruskan di mahkamah.

 

Dalam kenyataannya, Shazni mengaitkan Mahathir dengan beberapa tindakan zalim seperti tragedi Memali, tangkapan terhadap pemimpin pembangkang dalam Operasi Lalang 1987 dan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika berkuasa.

 

“Jika beliau boleh memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu, rasanya tidak susah untuk beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia. Ya, rakyat sedia menerima (permohonan maaf) jika Mahathir tidak terus keras kepala,” katanya.

 

Anwar menghadapi hukuman penjara selama lima tahun selepas mahkamah persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bersalah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Ia merupakan tuduhan liwat kedua membabitkan Anwar selepas menghadapi tuduhan sama ketika era Mahathir, yang menyaksikan pemecatannya dari Umno dan kerajaan.

 

Anwar menyifatkan kedua-dua tuduhan tersebut sebagai konspirasi politik dan kini meneruskan prosiding qazaf terhadap Saiful Bukhari dan Tan Sri Shafee Abdullah.

 

Semalam, bekas perdana menteri paling lama berkuasa di Malaysia itu membuat kejutan apabila hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

 

Mereka juga dilihat bertegur sapa dan bersalaman di mahkamah dalam pertemuan pertama kali yang dirakam sejak pemecatan Anwar 18 tahun lalu.  – Mkini



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...