loading...

Universiti Sasaran Baharu Militan

PESHAWAR, PAKISTAN – Hampir 25 orang terbunuh dalam serangan bersenjata di Universiti Bacha Khan, Charsadda di Pakistan semalam.

 

Dua letupan besar dilapor berlaku dan serangan dipercayai dilakukan oleh lima anggota militan bersenjata, lapor  Hindustan Times.

 

“Jumlah kematian dalam serangan pengganas meningkat kepada 25 orang,” kata Ketua Polis Wilayah, Saeed Wazir.

 

Menurutnya, operasi tamat dan pasukan keselamatan sedang memantau kawasan berkenaan dengan kebanyakan pelajar ditembak mati di sebuah asrama pelajar lelaki di kampus itu.

 

Sementara itu, jurucakap tentera Mejar Jeneral Asim Bajwa berkata, di Twitter bahawa kesemua penyerang ditembak pihak berkuasa.

 

“Dua daripada lima pengganas yang melepaskan tembakan dari dalam blok dikepung oleh pasukan tentera darat ditembak dan maut di tempat kejadian,” katanya.

 

Saksi berkata, serangan kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan), selepas kumpulan lelaki bersenjata itu menyelinap masuk dari pintu selatan dan melepaskan tembakan ke arah pelajar dan pensyarah di kelas dan asrama.

 

Rangkaian pejuang Taliban Pakistan, Tehreek-e-Taliban (TTP) yang menembak mati 134 pelajar sekolah di Peshawar pada Disember 2014, mengaku mendalangi serangan tersebut menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook, semalam.

 

Serangan ke atas Universiti Bacha Khan, terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Peshawar, merupakan serangan terbaru ke atas rantau militan itu.

Previous
Next Post »
loading...