TAWAU – Berkuat kuasa hari ini, pembeli tong Gas Petroleum Cecair (LPG) di daerah ini perlu mengemukakan MyKad, kad Penduduk Tetap (PR) dan permit pekerja bagi warga asing jika membeli barang keperluan bersubsidi berkenaan.
Turut diwajibkan berbuat demikian ialah pemilik kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Mekanisme baharu itu diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membanteras ketirisan penjualan tong LPG di daerah ini, khususnya di Pulau Sebatik yang bersempadan Indonesia.
Pengarah Penguat kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan itu dipatuhi, sekali gus mencegah ketirisan serta penyeludupan barang berkenaan.
“Pada masa sama, KPDNKK meminda syarat dalam lesen peruncit dan pemborong apabila mereka disyaratkan menjual LPG kepada individu berkelayakan sahaja.
“Kita juga mengarahkan peruncit dan pemborong menyediakan ‘buku stok’ bagi membolehkan penguat kuasa KPDNKK memantau penerimaan bekalan dan penjualan LPG, selain mengemukakan laporan terkini kepada pejabat KPDNKK setiap hari,” katanya selepas meninjau penguatkuasaan pembelian LPG menggunakan MyKad di sini, hari ini.
Mohd Roslan berkata, perangkaan KPDNKK menunjukkan penggunaan serta permintaan gas LPG di daerah ini adalah mencukupi iaitu 60,000 tong sebulan, manakala penduduk di Pulau Sebatik pula memerlukan kira-kira 1,500 tong sebulan.
Katanya, berdasarkan pemantauan dan maklumat, Tawau adalah daerah tertinggi aktiviti penyeludupan tong LPG khususnya melalui Pulau Sebatik kerana harganya lebih murah berbanding negara jiran, selain lebih berkualiti. – BHarian