KUALA LUMPUR – Gara-gara Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), seluar sukan, baju, sarung tangan getah dan kabel antara barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan ketika Sidang Khas di Parlimen.
Barang- barang itu dibawa oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika membawa usul perjanjian TPPA hingga mengundang gelak tawa ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Dalam bidang tekstil, baju-baju sekarang takrifnya ialah 0.5% hingga 32% untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Ini seluar (angkat seluar sukan berwarna hitam jalur putih). Seluar ini cukai 20% sekarang. Apabila pelaksanaan TPPA, 0%. Maka syarikat-syarikat buat seluar ini menjangkakan pelaburan bertambah, peluang kerja bertambah,” katanya yang disambut sorakan ahli-ahli Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian, ketika mengulas mengenai soal faedah yang dinikmati Malaysia dalam tiga bidang utama iaitu elektrik, elektronik dan komponen automatif termasuk tekstil.
Sebelum itu, beliau menyentuh tentang manfaat TPPA ke atas bidang komponen automotif, elektrik dan elektronik.
Menurutnya, cukai import bagi barangan elektrik dan elektronik Malaysia untuk memasuki pasaran AS secara purata adalah 5%, namun, melalui TPPA, duti ke atas produk itu dimansuhkan.
“Saya ada dua contoh di sini, ini bukan untuk pukul Yang Berhormat ya. Ini ‘spring coil’ untuk barangan automotif yang cukainya sekarang, 3 hingga 5%. Selepas TPPA kuatkuasa, ia 0%. Bermakna menguntungkan syarikat dan boleh labur lebih serta ambil lebih banyak pekerja.
“Ini kabel, banyak di Pulau Pinang, banyak di Shah Alam. Cukainya 3 hingga 5%. Selepas ini 0%. Bermakna, barang-barang lebih laku, lebih banyak pekerja, lebih banyak eksport, tukaran wang asing,” katanya. – FMT