loading...

Tidak Perlu Lelong Jika Hamidah Sanggup Berbincang, Kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR ― Bukanlah tidak kasihan dengan apa yang menimpa Datuk Hamidah Osman namun bekas pemimpin Umno itu enggan memohon maaf kesalahan yang dilakukan, kata Khalid Samad.

 

Ahli parlimen Shah Alam berkata Hamidah seharusnya berlapang dada membiarkan peguam yang mewakili mereka mengadakan perbincangan agar penyelesaian menang-menang dapat dicapai.

 

“Memanglah kita kesian tapi dia sampai sekarang tidak menyatakan apa-apa kekesalan, minta maaf atau sebagainya.

 

“Boleh berbincang tetapi berbincang pun tak nak. Saya kata biar bincang peguam bersama peguam.

 

“Bincanglah bersama peguam apa yang boleh dilakukan dan apa yang saya boleh tawarkan,” katanya kepada ProjekMMO.

 

Perkakasan rumah Hamidah habis dilelong pada Khamis susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bekas ketua wanita Umno Gopeng itu melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman malu kepada Khalid.

 

Lelongan yang bermula 11 pagi di rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah, Perak dimulakan dengan harga bidaan RM200,000 tetapi tiada sambutan.

 

Rakan karibnya, Fatimah Mohd Isa, 52, berjaya mendapatkan perkakasan Hamidah itu dengan harga RM100,000 namun dikembalikan semula kepada bekas exco Perak itu.

 

Khalid berkata tidak tergadai prinsip mana-mana pihak jika Hamidah tampil berbincang dengan diwakili peguam.

 

Katanya, isu kalimah “Allah” adalah subjektif kepada pihak tertentu namun menggambarkannya sebagai paderi sudah keterlaluan.

 

“Saya pun bukan nak dia setuju dengan pendirian saya tentang kalimah Allah. Masing-masing punyai pendirian sendiri, tak apalah.

 

“Tetapi yang dia gambarkan saya berpakaian paderi adalah keterlaluan. Minta maaf atas perkara itu saja. Bila tak bincang, itu yang jadi masalah,” katanya.

 

Hamidah pada Januari 2010 menulis artikel bertajuk “Umat Islam Perlu Bersatu” di blognya memuatkan gambar yang diubahsuai seperti Khalid berpakaian seorang paderi. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...