KUALA LUMPUR – Bekas anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Sirul Azhar Umar dalam satu lagi klip videonya membuat pendedahan terbaharu bahawa wanita yang juga model Mongolia yang dibunuhnya (Altantuya Sharribuu) tidak mengandung.
Menerusi video yang berdurasi 02.12 minit ini, Sirul menafikan sekeras kerasnya dakwaan tersebut.
Katanya, maklumat ini sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan mengaitkan spekulasi tersebut.
“Terdapatnya pihak-pihak media dan internet melaporkan fakta yang tidak tepat sama sekali bahawa wanita berkenaan sedang mengandung. Saya jelaskan disini provokasi dan juga spekulasi yang telah dimainkan media telah membuatkan kes saya itu dikecam dengan begitu teruk.
“Nampaknya disini ia telah mengaitkannya dengan sipolan dengan sebegitu rupa. Bahawa kandungan itu milik sipolan. Ia adalah fitnah semata-mata dan saya menafikan sekeras-kerasnya,” katanya.
Sebelum ini dalam satu rakaman awal, Sirul mengesahkan dia kini dalam proses mendapatkan permohonan untuk tinggal menetap di Australia.
Terdahulu, Peguam Sirul, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mendedahkan, ada pihak menawarkan kepada Sirul untuk menyelesaikan kes perundangan di Australia di mana Sirul ketika ini sedang dalam proses mendapatkan visa perlindungan.
Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebas dan melepaskan Sirul dan Inspektor Azilah Hadri daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Sharribuu.
Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum ini telah menjatuhkan hukuman mati ke atas setelah mereka berdua. – SuaraTV