SANTUBONG – Sarawak berisiko tenggelam sekurang-kurangnya satu meter sekiranya isu pemanasan global tidak ditangani dengan berkesan dan segera, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Katanya, walaupun ia diramalkan berlaku dalam tempoh 80 tahun akan datang, pelan tindakan segera perlu dilaksanakan, bukan hanya oleh Malaysia, malah negara lain di seluruh dunia.
Selain Sarawak, beliau berkata, negeri lain yang turut dikhuatiri tenggelam ialah Sabah dan Pantai Timur Semenanjung yang terletak berhampiran laut.
“Di Sarawak, antara lokasi berisiko tenggelam, termasuk Lembah Rejang yang terletak di kawasan rendah,” katanya selepas merasmikan Majlis Mesra Komuniti kementeriannya di Esplanade Kampung Buntal, di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, risiko itu tinggi jika perkara yang dibincangkan dalam perjanjian yang dimeterai pada ‘Conference of Parties’ (COP21) di Paris, Disember lalu gagal dilaksanakan.
Katanya, kenaikan paras air laut berpunca daripada cairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan, malah berdasarkan maklumat awal, berpotensi menenggelamkan negara bertanah rendah seperti Bangladesh dan Maldives dalam tempoh 50 tahun akan datang.
“Inilah sebab pentingnya COP21 ditandatangani agar kita dapat berganding bahu menangani kenaikan suhu dan paras air.
“Penting untuk kita memastikan mana-mana pembangunan yang dijalankan di negara ini selepas ini mengambil kira kenaikan paras air laut supaya penambakan tanah serta pembinaan benteng dapat diselaraskan sejajar hasil kajian itu,” katanya.
Mengikut perjanjian di Paris itu, semua negara mempunyai tempoh sehingga tahun 2030 untuk mengurangkan suhu serta kenaikan paras air laut. – BH Online