KUALA LUMPUR — Datuk Seri Dr Hasmiza Othman terkejut dengan larangan jualan produk Qu Puteh oleh Kementerian Kesihatan Brunei kerana didakwa mengandungi bahan berbahaya.
Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd berkata satu pertemuan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“Saya tidak boleh komen lagi. Saya pun terkejut dengan perkara ini.
“Saya akan beri komen selepas saya berbincang dengan Kementerian Kesihatan di sini dulu,” katanya, yang mesra dengan panggilan Dr Vida, ketika dihubungi ProjekMMO.
Ditanya mengenai kesahihan dakwaan produk Qu Puteh mengandungi raksa seperti dilaporkan hari ini, Hasmiza berkata: “Tidak ada sebenarnya. Itu yang saya hendak tengok macam mana dulu.”
Syarikatnya belum melantik pengedar rasmi di Brunei untuk memasarkan produk Qu Puteh.
“Saya pun kena mencari macam mana produk saya boleh pergi Brunei sebab saya tidak ada pengedar di Brunei lagi,” katanya.
Ketika dihubungi, sebagai penaja pasukan Kelantan mulai musim ini, beliau sedang bermesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) susulan perjanjian dua pihak itu Jumaat lepas.
Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block antara dua produk yang dilarang dijual di Brunei sejak semalam kerana didakwa mengandungi raksa.
Penggunaan raksa boleh menyebabkan ruam kulit, hilang ingatan, kelemahan otot dan merosakkan otak serta ginjal, lapor The Brunei Times, yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan negara itu. – MalayMail