loading...

Brunei Larang Import, Jual Dua Produk Vida Qu Puteh

BANDAR SERI BEGAWAN — Dua produk kecantikan jenama Qu Puteh tidak dibenarkan dijual di Brunei selepas Kementerian Kesihatan mendapati ia mengandungi bahan berbahaya.

 

Krim pemutih Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block mempunyai kandungan raksa setelah diuji Jabatan Perkhidmatan Farmasi, lapor portal The Brunei Times hari ini.

 

Satu lagi produk, kapsul menguruskan badan Chantique Beauty Slimming Herbal, turut dilarang dijual di kedai dan melalui Internet selepas ia didakwa mengandungi spironolakton.

 

Penggunaan raksa boleh menyebabkan ruam kulit, hilang ingatan, kelemahan otot dan merosakkan otak serta ginjal, lapor akhbar itu lagi, memetik kenyataan kementerian tersebut semalam.

 

Sementara penggunaan spironolakton tanpa penyeliaan boleh menyebabkan rasa dedar, keliru, mengantuk, pening, bengkak payudara, kitaran haid tidak teratur, kejang, rambut gugur dan ruam.

 

Kementerian Kesihatan Brunei menyatakan produk-produk yang mengandungi bahan-bahan berbahaya itu tidak dibenarkan diimport dan dijual di negara itu.

 

Qu Puteh muncul sebagai jenama terkenal di Malaysia selepas promosi besar-besaran usahawan Datuk Seri Hasmiza Othman melalui program tajaannya di televisyen.

 

Jenama ini dan Pamoga, satu lagi produk keluaran syarikat miliknya Vida Beauty Sdn Bhd, akan terpampang di jersi pasukan Kelantan musim ini. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...