loading...

Perut Berat Bawa Anak, Suami Jangan Tambah Beban Isteri Dengan Sikap Sambil Lewa

Wanita sekarang terlalu berdikari. Ketika mengandung pun boleh buat macam-macam perkara. Ketika seorang isteri hamil, anda hanya mampu melihat susah-payahnya dia membawa kandungan. Benar anda tidak mampu memindahkan kandungan itu kepada diri anda, tetapi beri penghargaan kepada isteri dengan menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepadanya.

Artikel Menarik: [Isteri Tak Ada Masalah Mengandung Banyak Kali, Tapi Suami Kenalah Sama-Sama Bertanggungjawab]

Bagi wanita hamil, biarpun sedikit bantuan atau ganjaran yang anda berikan kepada mereka, itu sudah mampu mengurangkan kepayahan membawa anak comel di dalam perut. Pernahkah anda mencuba beberapa perkara ini untuk menzahirkan rasa cinta anda kepada isteri yang sedang hamil. Ayuh, kita semak bersama-sama!

BANYAKKAN MEMBACA

Jangan malas. Banyakkan membaca maklumat tentang kehamilan dan sebagainya. Ketika mereka bercerita kepada anda tentang kandungan mereka, sekurang-kurangnya anda tahu apa yang perlu dibuat. Memberi tumpuan kepada cerita mereka dan ada solusi kepada permasalahan mereka akan menunjukkan bahawa anda sudah bersedia dengan tanggung jawab baharu menjadi seorang bapa.

Biarpun isteri anda bukannya hamil anak pertama, pastikan anda sentiasa bersedia dengan pelbagai pengetahuan tentang kehamilan sekiranya mereka berkongsi cerita dengan anda.

TEMANKAN SI DIA KE PEMERIKSAAN BERKALA

Ini menunjukkan anda peka dan sentiasa mahu terlibat dalam perjalanan kehamilannya. Apabila anda menemaninya ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan berkala, anda akan tahu dengan tahap kesihatan isteri dan anak dalam kandungan.

Pastikan anda sentiasa mengambil tahu dan banyakkan bertanya perihal yang tidak anda ketahui setiap kali berjumpa doktor. Jika anda ada ketika ujian imbasan dibuat, ia akan mewujudkan jalinan kasih sayang antara anda dan bayi dalam kandungan.

KURANGKAN TEKANAN ISTERI

Kehamilan sememangnya memberi tekanan baik dari segi fizikal atau emosi. Jangan bebankan isteri dengan masalah yang tidak perlu. Ambil tugas untuk membantunya membuat kerja rumah supaya isteri dapat berehat.

BANTU ISTERI TIDUR

Semakin besar kandungan, isteri akan mula merasa tidak selesa. Ketika isteri tidur dalam keadaan terlentang, berat kandungan akan memberi beban keada tulang belakang dan otot-ototnya yang membuatkan dia merasa sakit.

Artikel Menarik: [Layanan Suami Ketika Isteri Mengandung Penting Untuk Lahirkan Zuriat Soleh/Solehah]

Ada masanya, bayi aktif ketika waktu tidur ibu. Bantu isteri anda untuk tidur, dapatkan bantal khas buat ibu mengandung. Bantal ini direka untuk menyokong bahagian tertentu agar ibu dapat tidur dengan lebih lena. Memeluk isteri ketika dia sedang tidur juga dapat memberinya ketenangan.

BAWA-BAWALAH BERSABAR

Ketika isteri sedang mengandung, hormonnya tidak stabil. Anda akan berdepan dengan perubahan emosi serta tingkah laku yang sukar dijangka. Banyakkan bersabar dan fahami keadaan isteri anda.

Wanita hamil juga kerap ke tandas, terutamanya pada waktu tengah malam. Sebagai suami prihatin, berjagalah ketika dia ke tandas dan selalulah bertanyakan keadaannya.

BUAT KEJUTAN ISTIMEWA

Inilah yang paling isteri suka. Tidak perlu kejutan besar-besaran. Jika ia hanya melibatkan anda berdua sudah cukup. Tetapi jika ada rezeki lebih tidak salah untuk anda membuat kejutan yang lebih besar. Ajaklah keluarga dan teman-teman rapatnya untuk merancang kejutan untuk isteri anda. Bawa dia bercuti atau menganjurkan majlis khas untuk si dia sudah cukup untuk memberi impak kepada ibu hamil sekaligus memberi kesan positif terhadap kandungannya.

Suami adalah orang paling penting sepanjang proses mengandung. Isteri mengharapkan suami untuk sentiasa bersedia dan ada dengannya setiap masa. Jika tidak mampu untuk buat semua perkara di atas, sekurang-kurangnya ucapkan terima kasih kepada si isteri atas pengorbanannya itu.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...