Adakalanya bila anak terluka akibat terjatuh atau digigit serangga kita biarkan sahaja tanpa disapu ubat atau mendapatkan rawatan sewajarnya. Sebenarnya hal sebegini tidak patut berlaku, bimbang kaki anak makin melarat atau terkena radang cellulitis membuatkan keadaan menjadi semakin tidak terkawal.
Menerusi perkongsian oleh Dr Aima Hassan, jika cellulitis tak dirawat dengan baik, jangkitan ini boleh merebak ke lapisan tisu yang lebih dalam – otot, tulang yang boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius. Malah boleh juga tersebar dalam edaran darah ke seluruh badan. Jadi jangan biarkan sahaja anak kita. Bawak jumpa doktor.
Anak junior saya tempoh hari dimasukkan ke hospital kerana kakinya ada cellulitis (read: selulaitis). Awalnya sekadar luka melecet kerana terjatuh. Tiba-tiba jadi merebak merah hampir seluruh kaki.
Cellulitis adalah jangkitan kuman/radang yang melibatkan kulit dan lapisan tisu di bawahnya (dermis, epidermis, subcutaneous tissue).
Sebab biasa terjadinya cellulitis, antaranya:
– Luka pada kulit, gigitan serangga
– Kencing manis, dan sistem imun badan yang lemah.
– Penyakit kulit yang sedia ada (ekzema, psoriasis)
– Bengkak kaki atau tangan yang kronik
Bahagian kulit yang terlibat itu akan jadi merah berkilat, bengkak. Bila pegang akan terasa hangat. Bila ditekan akan rasa sakit. Kadang akan melepuh.
Banyak masanya pesakit akan demam, adakala sampai menggigil. Kelenjar limfa yang menjaga bahagian itu juga mungkin akan jadi bengkak.
Apa nak buat bila ada ahli keluarga atau diri sendiri yang kena?
Saya cadangkan serahkan diri kepada yang lebih pakar i.e ke klinik atau hospital. Jangkitan perlu dikawal dengan antibiotik – sama ada ubat makan ataupun melalui saluran darah.
Secara asasnya, cellulitis hanya libatkan lapisan permukaan kulit. Namun ada beberapa kali juga bila kami buat ultrasound untuk pesakit yang ada cellulitis, rupa-rupanya sudah ada nanah pada ototnya.
Jika tak dirawat dengan elok, jangkitan itu boleh merebak ke lapisan tisu yang lebih dalam – otot, tulang yang boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius. Ia boleh juga tersebar dalam edaran darah ke seluruh badan.
Pendek kata, tanpa rawatan dan pantauan yang selayaknya, ia boleh membawa maut.
NB:
Cumanya, harus diingat. Efektifnya rawatan itu bergantung kepada jenis kuman dan ketahanan badan seseorang itu juga.
Kadang dah berikan antibiotik terbaik, tapi kuman itu degil juga ataupun sistem imun badan pesakit sendiri tidak kuat untuk melawan jangkitan.
Apa-apa pun sembuh atau tidak itu adalah dengan izin Allah jua. Yang penting kita sebagai manusia dah usaha untuk pelihara kesihatan dan nyawa. Untuk pesakit dengan mencari perawat. Untuk perawat pula, dengan memberikan rawatan selayaknya mengikut ilmunya.
Terima kasih dak Ilidayana Sudirman, untuk gambarnya.