loading...

“Teran Macam Buang Air Besar & Curi Nafas.” Doktor Kongsi 12 Tip Mudahkan Proses Bersalin

Curi nafas, posisi badan dan cara teran yang betul membantu mudahkan proses bersalin. Bagi ibu baru atau pertama kali melahirkan secara normal, ia mungkin agak sukar dilakukan.

Ramai yang mengalami kesukaran untuk meneran atau lebih tepat lagi tidak pandai untuk meneran mengeluarkan bayi tanpa menggunakan sebarang alat bantu. Lebih-lebih lagi setelah bergelut dengan kontraksi yang semakin kerap dan lama, ibu boleh jadi keliru!

Menurut Dr Sharina Mohd Razali, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, cara meneran yang betul ialah seperti meneran ketika membuang air besar. Elakkan meneran pada muka kerana ia cara yang salah dan boleh menyebabkan anda berasa cepat penat. Ini adalah kesilapan yang sering kali terjadi terutamanya bagi ibu pertama kali yang tidak mempunyai pengalaman bersalin normal.

PERSEDIAAN DAN LATIHAN

Sebagai persediaan dan latihan supaya proses meneran berjalan lancar, anda bolehlah mengikuti kelas antenatal sebagai persiapan untuk bersalin. Semasa kelas dijalankan, anda akan diajar cara-cara senaman yang membantu ibu menjadi lebih sihat dan ceria. Relaxation technique juga turut diajar iaitu;

Penafasan melalui abdomen (deep breath/ abdominal breathing)

Anda digalakkan untuk menarik nafas dalam daripada ruang abdomen semasa kontraksi (bukan dari dada). Cara pernafasan ini jika dilakukan dengan betul boleh membantu mengalih perhatian para ibu daripada perasaan sakit semasa kontraksi dan menumpukan kepada teknik pernafasan yang betul.

Relaxation technique

Pergerakan-Anda perlu membuat banyak pergerakan semasa proses awal kelahiran. Ini  boleh membantu mengalih perhatian dan mengurangkan kesakitan serta mempercepatkan proses bersalin secara tidak langsung.

Birthing Ball-Menggunakan birthing ball atau melakukan senaman ringan semasa awal proses kelahiran boleh membantu postur badan dan pelvis semasa menahan kesakitan semasa  bersalin.

Mandi air suam-Mandi air suam atau berendam dalam kolam (birthing pool) juga membantu mengalih perhatian anda daripada kesakitan kontraksi.

TENAGA

Meneran memerlukan tenaga. Anda disarankan berehat sebelum proses bersalin aktif untuk mengelakkan pembaziran tenaga. Berjalan-jalan di sekitar wad boleh dilakukan sekiranya ia bertujuan untuk menenangkan fikiran dan mengurangkan tumpuan kepada perasaan sakit. Sesetengah pakar perbidanan juga berpendapat berjalan semasa proses  awal bersalin boleh membantu mempercepatkan proses  bersalin kerana tekanan kepala bayi pada serviks.

Anda dibolehkan mengambil snek ringan sebelum masuk ke dewan bersalin. Antara snek yang boleh diambil ialah seperti roti, minuman berkhasiat dan buah-buahan seperti pisang. Makanan ringkas dan berkhasiat diambil dalam kuantiti yang kecil sebagai mengalas perut dan membekalkan tenaga untuk meneran.

Menurut Dr Sharina, kenyataan mengenai ibu yang ingin bersalin tidak dibenarkan adalah tidak benar sama sekali kecuali pada kes yang telah dijadualkan melahirkan menerusi pembedahan secara elektif. Manakala sepanjang masa di dewan bersalin, ibu diberikan air dalam kuantiti sedikit seakan-akan seperti membasahkan bibir dengan air untuk mengelakkan kehausan.

POSTUR BADAN

Postur badan memainkan peranan untuk memudahkan ibu untuk meneran. Caranya ialah dengan;

  • Berbaring dengan keadaan kedua belah kaki terbuka luas.
  • Kedua-dua kaki dilipatkan sedikit ke belakang.
  • Bahagian belakang akan ditinggikan bahagian sedikit.
  • Cuba pegang pada tumit atau meletakkan kaki pada penyokong besi yang disediakan.

IKUT ARAHAN

Dengar dan sentiasa peka kepada arahan yang diberikan oleh doktor dan jururawat  yang bertugas. Teran apabila disuruh dan tahan apabila tidak perlu teran. Hal ini penting kerana doktor atau jururawat hanya akan memberi arahan teran setelah memantau kontraksi menerusi bacaan CTG dan keadaan bayi.

Elakkan meneran terlalu awal iaitu sebelum bukaan serviks 10sm kerana ia boleh menyebabkan ibu berasa penat  dan memberikan stres berlebihan kepada bayi. Meneran terlalu awal juga boleh menyebabkan serviks terkoyak.

CARA MENERAN YANG  BETUL SEMASA BERSALIN

  • Angkat kepala sehingga dagu mencecah dada.
  • Mata memandang ke arah perut.
  • Tangan pegang pergelangan kaki.
  • Elakkan mengeluarkan suara ketika meneran. Simpan tenaga untuk meneran
  • Jangan sesekali angkat punggung agar luka tidak melibatkan dubur.
  • Tarik nafas dengan dalam dan teran seperti keadaan membuang air besar.
  • Pastikan anda tidak mengeluarkan nafas dengan kuat.
  • Teran sekuat – kuatnya selama yang boleh (selama 10 saat sekiranya boleh).
  • Rehat dan relaks ketika tiada kontraksi. Basahkan bibir dengan air dengan bantuan suami.
  • Curi nafas dan teruskan meneran di setiap kontraksi.
  • Dengar arahan jururawat dan doktor
  • Elakkan menjerit – jerit supaya pembaziran tenaga dapat dielakkan.

AWAS! Menghembus nafas dengan kuat semasa meneran akan menyebabkan anda jadi cepat letih. Jika anda mempunyai masalah pernafasan seperti asma, beritahu doktor atau jururawat yang bertugas. Jangan lupa bawa ubat-ubatan seperti metered dose inhalers.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...