loading...

2 Minggu Potty Train, Anak Ibu Ini Bebas ‘Pampers’ Sepenuhnya Pada Umur 2 Tahun

Salah satu perkara yang mencabar bagi ibu ayah ialah melatih anak untuk bercerai lampin. Tidak mudah tapi tidak mustahil, ibu ini berjaya lakukannya ketika usia anak 2 tahun.

Perkongsian daripada ibu ini boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa yang lain. Mengikut pengalamannya, antara anak lelaki dan perempuan, anak perempuan lebih mudah melalui fasa perubahan ini. Memang benar ia memerlukan kesabaran, mungkin akan ada insiden terkencing dan bermacam “ter” lagi. Paling mustahak kata pemilik taska ini ialah keraskan hati dan konsisten barulah menjadi.

BEBAS DARI LAMPIN PAKAI BUANG

“Puan, anak puan dah boleh buang air kecil sendiri. Kami sering ajar dia setiap kali sebelum nak mandi. Puan boleh latih juga dia di rumah dan perlahan-lahan boleh ajar dia agar tak perlu pakai lampin lagi.”

Itu yang saya sering usulkan pada ibu anak-anak asuhan jika kami dah nampak anak mereka boleh diajar tidak memakai lampin pakai buang lagi.

Ketika umur berapa anak-anak kecil perlu bebas dari lampin pakai buang?

BILA ANAK BOLEH BERCAKAP BOLEH MULA DIAJAR

Jika ditanya pendapat pakar, seawal anak sudah boleh bercakap sekitar setahun ke atas boleh diajar buang air sendiri dan boleh diajar bebas dari pakai lampin.

Tapi ramai ibu-ibu di luar sana belum berkeyakinan untuk melepaskan anak tanpa lampin pakai buang seawal usia 1-2 tahun.

Dari yang saya lihat, ada yang anak sudah masuk tadika tetapi masih pakai lampin pakai buang lagi.

Mengikut pengalaman saya melalui anak sendiri dan anak asuhan taska, anak perempuan lebih cepat belajar dan membiasakan diri berbanding anak lelaki.

ANAK PEREMPUAN 2 TAHUN BEBAS LAMPIN DALAM MASA 2 MINGGU

Anak perempuan saya, ketika usia 2 tahun lebih sudah saya latih buang air kecil dan besar dan seterusnya bebas dari lampin pakai buang. Tempohnya sekitar 1-2 minggu latihan.

Peringkat awal, memang kena tabah dan sabar kalau dia kadangkala terbabas buang air merata. Asyik mengemop dan mengelap lantai saja..

SEBELUM TIDUR SURUH KENCING DULU, TENGAH MALAM BAWA KE TANDAS

Waktu malam dia masih memakai lampin tapi sebelum tidur saya akan bawa dia buang air kecil dulu. Jika saya terjaga tengah malam, saya akan dukung atau kejut anak bawa ke bilik air untuk buang air supaya dia tidak buang air kecil semasa tidur.

Pagi-pagi sebaik dia terbangun saya akan segera bawa dia ke tandas untuk buang air kecil lagi.

Lama kelamaan, kerana sudah terbiasa buang air di bilik air, dia tidak buang air di dalam lampin waktu malam lagi. Waktu itu, saya akan lepaskan lampin pakai buang sepenuhnya.

IKUT PENGALAMAN, ANAK LELAKI AMBIL MASA SEDIKIT

Tapi pengalaman mengajar anak lelaki berbeza. 3 orang anak lelaki saya dari umur 2 tahun diajar, namun tidak berjaya. Ketika umur 3 tahun saya masih gigih mengajar tapi masih belum berjaya sepenuhnya.

Akhirnya ketika umur mereka sudah 4 tahun baru berjaya ajar mereka tidak memakai lampin sepenuhnya.

Tetapi ada seorang anak lelaki taska saya, ibunya berjaya latih pada umur 3 tahun lagi.

Maknanya di sini, kita sebagai ibu perlu lebih konsisten dan keras hati latih anak buang air sendiri dan lepaskan lampin seawal mungkin.

10 TIPS LATIH ANAK CERAI LAMPIN

Berikut mungkin tips yang dapat membantu ibu-ibu di luar sana cara untuk anak melepaskan lampin mereka.

1) LATIH BUANG AIR SENDIRI TANPA LAMPIN SEBELUM MANDI

Peringkat awal, latih anak buang air kecil sendiri terutama setiap kali sebelum mandi. Ibu-ibu perlu bersabar sehingga anak boleh membuang sendiri setiap kali di suruh.

Kalau nak suruh ketika hari siang waktu dia berlampin pun boleh cuma leceh sikit sebab perlu pakaikan lampin semula. Silap haribulan tak sempat ajak ke tandas dia dah buang air di lampin.

2) PILIH 1 HARI UNTUK IBU FOKUS MELATIH

Jika anak dah boleh buang air sendiri, untuk permulaan kena pilih beberapa hari yang lapang contohnya hari minggu supaya ibu-ibu boleh fokus untuk latih anak.

3) BERITAHU ANAK KITA SEDANG MELATIHNYA

Ibu-ibu perlu beritahu anak sebelum ingin melatihnya supaya dia juga bersedia untuk melatih dirinya membiasakan dari tidak memakai lampin pakai buang.

4) NAK BUANG AIR TAK?

Perlu bertanya kepada anak dengan kerap apakah dia mahu membuang air kecil atau besar. Walau pun dia beritahu tidak mahu, untuk mula-mula setiap 15 minit – 1/2 jam sekali ibu perlu bawa anak ke tandas dan minta dia buang air kecil.

5) JARAKKAN 45 MINIT – 1 JAM

Selepas dia sudah pandai beritahu untuk buang air sendiri, ibu-ibu boleh jarakkan ke 45 minit – 1 jam sekali.

6) JANGAN OFF LAGI LAMPIN WAKTU MALAM

Ketika ini waktu malam anak masih perlu memakai lampin supaya tidak ada risiko anak buang air kecil ketika tidur.

7) BANGUNKAN ANAK TENGAH MALAM UNTUK KE TANDAS

Ibu atau bapa boleh bantu bangunkan anak di waktu tengah malam untuk latih dia buang air kecil di tandas jika dia merasa ingin buang air kecil di waktu malam ketika tidur.

8) LATIH TIDUR TANPA LAMPIN

Akhirnya selepas dipastikan setiap pagi lampinnya kering sepanjang dia tidur waktu malam, bolehlah dia dilatih tidur tanpa lampin.

9) BANYAKKAN BERDOA

Yang pasti setiap apa jua yang ingin kita lakukan pastikan kita berdoa memohon kepada Allah semoga dipermudahkan urusan melatih anak kita. Kerana apa jua yang kita lakukan atas izin-Nya.

10) BAPA PERLU BANTU IBU

Paling penting juga, pihak bapa perlu bantu isteri melatih anak bersama-sama.

Jika anak sudah pandai ke tandas sendiri, bukan saja kita berasa lega malah menjimatkan kos perbelanjaan bulanan dari membeli lampin pakai buang.

Semoga info ini dapat memberi manfaat untuk ibu-bapa diluar sana.

Salam Sayang.

Sumber: Nor Robaniyah Jahron

Previous
Next Post »
loading...