loading...

MySC ganti Hari Sukan Negara

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif terbaharu akan melaksanakan Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan, kata Timbalan Menterinya Steven Sim Chee Kiong.

Beliau berkata program itu adalah cetusan idea Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyasarkan lima juta orang, dengan melibatkan penyertaan 154,925 peserta di peringkat kebangsaan, 2,649,075 (negeri) dan 2,196,000 peserta peringkat daerah.

Katanya pelaksanaan MySC’19 yang merupakan usaha penambahbaikan kepada Hari Sukan Negara (HSN) akan berlangsung selama 31 hari sepanjang bulan Oktober, berbanding HSN yang dilaksanakan hanya satu hari pada minggu kedua Oktober.

Beliau berkata MySC’19 juga dilaksanakan setelah mengambil kira hasil dapatan kajian HSN 2018 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) yang mengesyorkan agar memanjangkan tempoh penganjuran demi menyemarakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.

“Antara pendekatan perlanjutan tempoh pelaksanaan adalah dengan mengambil kira skop dan pelaksanaan MySC lebih meluas dan menyeluruh.

“Ia juga bertujuan meningkatkan akses bagi masyarakat terlibat sama dalam aktiviti kesukanan tanpa terikat kepada sambutan selama sehari sahaja dan masa sambutan yang lebih fleksibel,” kata Steven Sim pada Majlis Hi Tea bersama penaja di sini, hari ini.

Antara enam objektif utama pelaksanaan MySC adalah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan, memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat serta menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui pembangunan industri sukan.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan sukan dan memberi pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti pembangunan sukan peringkat akar umbi.

Pra pelancaran MySC’19 akan diadakan pada 14 Sept hadapan, diikuti pelancaran pada 1 Okt sebelum kemuncak program itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Okt.

— BERNAMA

Ligakampung.com menyambut baik cadangan KBS ini dengan menambahbaik program Hari Sukan Negara sebelum ini. Dengan menambahkan hari program pasti akan memberikan dorongan kepada rakyat Malaysia untuk terus bersukan. Tahniah semua.

Please follow and like us:

error0
Previous
Next Post »
loading...