Seorang bayi lelaki berusia 19 hari meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di rumahnya di Kampung Kubang Bonggor Hulu Melor, Kelantan.
Kejadian menimpa Mohd Al Amin Rafael Mohd Rosli tersebut disedari ibunya, Miss Nuriah Mansur, 41, pada jam 9.45 malam.
Nuriah berkata, dia sebelum itu menyusukan anak bongsu daripada lima beradik berkenaan sebelum menidurkannya.
Suaminya, Mohd Rosli Deraman, 51, pula ketika itu berada di dalam bilik kerana menidurkan anak perempuan mereka yang berusia 4 tahun.
“Mohd Al Amin Rafael pula ada bersama saya dan saya memberikan susu badan kepadanya kira-kira pada jam 9 malam, selepas itu saya sendawakan dia dan bermain dengannya sebelum dia membuang air besar.
“Siap membersihkan najis saya menidurkannya dan kemudian pergi ke dapur untuk makan tetapi berasa tidak sedap hati lalu berpatah balik untuk melihatnya.
“Ketika itulah saya nampak dia yang tidur di atas tilam kecil di ruang tamu rumah dalam keadaan mulut yang ternganga. Semasa cuba mengangkat untuk diletakkan di atas riba, tangannya sudah terkulai,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi pihak hospital dan doktor yang datang ke rumah mengesahkan anaknya itu sudah meninggal dunia lalu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
“Semasa tengok najisnya sebelum itu saya sudah berasa pelik kerana berwarna kuning bercampur hijau. Sepanjang mengandungkannya saya berasa tidak sedap hati sehinggalah dia dilahirkan pada usia tujuh bulan seberat 2 kilogram melalui pembedahan pada 30 Julai lalu.
“Tiga hari lalu saya bermimpi dia menyusu badan dan merangkak sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah saya seolah-olah sudah memberi petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya sebak.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, doktor memberitahunya punca kematian anaknya itu akibat kuman pada paru-paru menyebabkannya tidak boleh bernafas dan meninggal dunia.
“Saya diberitahui oleh doktor anak saya ini meninggal dunia kerana kuman pada paru-paru hasil daripada laporan bedah siasat yang dilakukan Unit Forensik HRPZ II hari ini.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kematiannya namun reda dan percaya ada rahmat di sebalik ujian ini. Jenazah anak kami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pak Da Daud Jambu Merah, Melor,” katanya.
Sumber: Sinar Harian