DAVAO – Seramai 37 dipercayai maut dalam kebakaran di sebuah pusat beli-belah di sini, pagi semalam, kata Naib Datuk Bandar Davao, Paolo Duterte.
“Hasil maklumat yang diterima daripada komander Biro Perlindungan Kebakaran yang berada di lokasi kejadian, peluang untuk menyelamatkan 37 mangsa adalah tipis,” kata Duterte yang juga anak Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam mesej di Facebook.
Pegawai polis, Ralph Canoy ketika memberitahu AFP, berkata kebakaran di pusat beli-belah NCCC Mall setinggi empat tingkat itu berlaku pada awal pagi semalam, menyebabkan ramai terperangkap, termasuk mereka yang bertugas di pusat panggilan yang terletak di aras empat.
Canoy berkata, kebakaran masih gagal dipadamkan hingga pagi tadi, iaitu hampir 24 jam selepas ia tercetus.
“Kebakaran dipercayai bermula di aras tiga NCCC Mall yang menjual pelbagai produk keperluan rumah seperti fabrik, perabot kayu dan barangan plastik.
“Ia menyebabkan api merebak dengan cepat dan mengambil masa untuk dipadamkan,” katanya.
Beliau berkata, pihak penyiasat percaya sebahagian besar mangsa yang terkorban bertugas di pusat panggilan yang beroperasi 24 jam.
“Ada kemungkinan mangsa tidak menyedari kebakaran berlaku kerana bekerja,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, Presiden Duterte yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao selama 20 tahun mengunjungi pusat beli-belah itu semalam, bagi menenangkan keluarga mangsa.
Menurut salah seorang pembantunya kepada AFP, Duterte masih tinggal di bandar berkenaan.
Davao yang mempunyai 1.5 juta penduduk adalah bandar terbesar di selatan Filipina dan ia terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Manila. – AFP
Loading...