KUALA LUMPUR – Seorang penjaja kecil hari ini dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dan ecstasy pada Februari tahun lepas.
Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan terhadap Lai Yen Sheng, 34, bagi pertuduhan memiliki dadah methamphetamine seberat 70.4 gram dan penjara sembilan bulan bagi pertuduhan memiliki 50 biji pil dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 6.83 gram.
Mahkamah memerintahkan Lai menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Februari 2015.
Dalam penghakimannya, Mohamad Shariff berkata mahkamah memandang kesalahan dadah adalah serius, berat dan menjijikkan malah ia bukan sahaja merosakkan moral seseorang tetapi juga boleh menghancurkan negara
“Pengakuan bersalah tertuduh tidak dapat mengatasi keseriusan kesalahannya. Mahkamah ambil peranan sewajarnya dengan menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain,” katanya.
“Saya menjatuhkan hukuman ini agar memberi mesej yang jelas kepada orang awam. Saya harap kamu insaf dan berubah kerana kamu masih muda dan masih mempunyai masa depan yang cerah. Oleh itu, jangan kamu mensia-siakan masa muda ini,” katanya.
Lai yang memakai kemeja-T putih kelihatan menangis dan tunduk di kandang tertuduh ketika hakim menasihatkannya supaya insaf dan memintanya mengingati jasa bapanya.
“Ingatlah pada bapa kamu kerana di dunia ini kita hanya ada seorang bapa sahaja,” kata hakim itu
Lai didakwa memiliki kedua-dua jenis dadah itu di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Loke Yew, Cheras di sini pada 4 Februari 2015.
Bagi pertuduhan memiliki dadah methamphetamine, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.
Bagi pertuduhan memiliki 50 biji pil dadah MDMA, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM100,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya tertuduh insaf akan perbuatannya.
Peguam Saha Deva Arunasalam yang mewakili Lai memohon hukuman tempoh pemenjaraan yang pendek atas alasan anak guamnya masih muda selain perlu menanggung bapanya yang uzur.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Lai, yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu, terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah setelah mengalami tekanan emosi akibat kematian ibunya sejak berusia 11 tahun dan kemudian dipelihara oleh bapanya. – Bernama