loading...

Lagi Syarat Datuk Vida, Mahu Duduk Di Kerusi Pemain TRW

KUALA LUMPUR — Selepas selesai menandatangani tajaan RM16 juta dengan pasukan bola sepak Kelantan minggu lalu, nampaknya permintaan pengasas syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman tidak terhenti di situ saja.

 

Terbaru, Vida meminta dirinya dilantik sebagai “pengurus eksekutif” bagi membolehkannya berada di kerusi pemain simpanan bersama ketua jurulatih, K Devan dan dapat berinteraksi bersama pemain dengan lebih dekat sepanjang perlawanan.

 

“Saya tidak mahu berada di kerusi jemputan khas kerana agak jauh berbanding dengan kerusi di sebelah padang. Jawatan itu belum ada sebelum ini dan akan diwujudkan.

 

“Ia tidak bermaksud saya mahu mencampuri pengurusan pemain, sebaliknya saya hanya mahu di hadapan bersama pemain setiap kali ada perlawanan,” katanya dipetik laporan Berita Harian, hari ini.

 

Lazimnya, pemilik atau penaja pasukan tidak dibenarkan untuk duduk di kerusi pemain simpanan.

 

Kata Vida, pelantikan itu adalah antara 35 syarat yang dipersetujui selepas berbincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan pegawainya.

 

Sementara itu, portal mStar melaporkan Vida enggan bertolak ansur dengan penaja barangan sukan, Nike menumpang jersi keluarannya berwarna merah jambu untuk promosi.

 

Menurut portal itu, Nike sebagai penaja peralatan dan jersi rasmi The Red Warrior (TRW) sejak 2014 masih mempunyai kontrak lagi setahun.

 

“Saya akan terus berjuang bagi memastikan jersi utama The Red Warriors berwana pink. Kalau boleh nak buang terus simbol Nike tu, tidak adil bagi saya sebagai penaja utama,” katanya.

 

“Saya dah bayar RM4 juta untuk Airtime Management Programming, jadi tak adil bagi saya jika ada pihak yang dapat promosi percuma disebabkan hanya taja jersi TRW.”

 

Kebanyakan jersi bola menampilkan jenama sukan yang mengeluarkan jersi tersebut, dan KAFA masih belum menjawab bagaimana ia akan cuba menunaikan permintaan Vida tersebut.

 

Vida sebelum ini kecewa dengan pengumuman KAFA yang mahu jersi TRW kekal dengan warna tradisi iaitu merah di gelanggang sendiri dan warna biru-putih di tempat lawan, manakala merah jambu sekadar untuk jersi kedua semasa di gelanggang sendiri. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...