Bekerja sebagai seorang doktor memerlukan komitmen yang tinggi. Apatah lagi suaminya, Dr. Anwar Fazal Abu Bakar, juga merupakan seorang doktor dan masa mereka berdua bersama anak-anak terhad. Itu tidak menjadi alasan buat doktor Instafamous, Dr. Fatin Liyana untuk mengabaikan keperluan anak-anaknya dari segi emosi. Pasangan doktor ini dikurniakan dua orang anak iaitu Ajda Anwar Fazal dan Hail Nolan Anwar Fazal.
Memandangkan dia perlu menjadi supermom, Dr. Fatin ketika ditemui Pa&Ma memberitahu yang dia akan menjalankan semua tanggung jawab sebagai seorang ibu serentak.
Memandu, Mengepam Susu dan Bercerita Dalam Satu Masa
“Benar, tidak mudah nak menjaga dua orang anak yang masih kecil. Masing-masing memerlukan perhatian yang berbeza dari Ummi dan Abi mereka. Menjadi seorang ibu, baharulah kita tahu keupayaan diri kita yang sebenarnya. Tak sangka, sejak tiga tahun lepas saya tidak pernah tidur lebih dari tiga jam terus tanpa gangguan. Sekarang ni pun, saya dah jadi seorang yang multi tasking. Boleh memandu sambal mengepam. Kemudian tu, bercerita pula tentang kisah dongeng dengan anak-anak.
Kepayahan membesarkan anak-anak adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat saya. Saya tahu, kepayahan ini tak lama. Satu hari nanti, anak yang diasuh oleh kudrat ini akan pergi membawa diri, meneroka dunia. Kenangan membawa mereka dalam rahim saya, melahirkan dan mengasuh mereka dari kecil sehingga mereka boleh berdikari akan saya semat di sanubari sampai bila-bila.”
Mahu Anak-Anak Belajar Di SBP
“Kami adalah SBP-breed. Jadi kami harap anak-anak akan ke sekolah SBP (Sekolah Berasrama Penuh) supaya mereka boleh belajar bergaul, berkongsi dan belajar mengawal emosi dengan baik kelak. Saya lebih menerapkan ilmu kemahiran kendiri. Dari segi cita-cita, kami tak pernah terfikir untuk mengawal atau menentukan.
Terpulang kepada mereka. Kami akan sokong apa yang anak-anak mahu jika ia bagus dan berpandukan syariah. Along the way, kalau mereka perlukan pendapat dan sokongan, mereka tahu kami sentiasa ada untuk mereka.”
Jadi Sahabat Dengan Anak-Anak
“Saya dan suami mahu menjadi kawan dengan anak-anak. Kami selalu berbual tentang semua perkara dengan mereka. Sambil itu, saya akan terangkan kepada mereka, mengapa buat begitu, mengapa buat begini. Kami kongsikan minat kami dengan anak-anak dan hargai mereka seperti orang dewasa.
Kami suka kalau anak-anak jenis bercerita dan tidak berahsia dengan kami. Kami harap kami tak jadi ibu bapa yang mengharapkan anak-anak menjadi pelajar cemerlang dengan straight A’s. Cuma impian suami, ada anak-anak kami yang akan mendalami bidang agama.”
Pa&Ma doakan keluarga Dr. Fatin dan Dr. Anwar akan kekal berbahagia selamanya. Semoga kedua-dua anak mereka juga akan berjaya seperti ibu dan ayahnya.